Reuters

Kohler, AS: Zach Johnson (gambar) sedar lapangan Whistling Straits yang panjang dan sukar bukanlah gelanggang kegemarannya bagi Kejohanan PGA AS namun tidak menafikan peluangnya muncul juara minggu ini.

Dia berkongsi tangga ketiga di lapangan Wisconsin itu pada 2010 dan kembali dengan semangat tinggi sebagai pemegang trofi tertua dalam sukan golf, Claret Jug.

St Andrews juga bukan lapangan Terbuka British kegemarannya namun ia tidak menyekat Johnson daripada muncul juara di sana bulan lalu sekali gus muncul pemenang dua kejuaraan utama lapan tahun selepas menyarung jaket hijau pada Masters AS.

“Ini bukan lapangan kegemaran saya pada Kejohanan PGA tapi St Andrews juga tidak berada dalam kelompok dua atau tiga teratas (lapangan Terbuka British),” kata Johnson, menegaskan dia sukakan semua lapangan Terbuka British.

Dia juga menjelaskan St Andrew dan Whistling Straits tidak banyak berbeza.

“Lapangan ini mungkin kelihatan seperti lapangan golf berangkai apabila anda berdiri di rumah kelab merenung ke bawah tapi anda tidak bermain di sini seperti lapangan golf berangkai sebenar,” kata pemain Amerika berusia 39 tahun itu yang mengungguli Terbuka British di St Andrews bulan lalu.

Johnson juga bukannya pemain dengan pukulan drive yang jauh namun ia tidak menghalangnya daripada menjadi pencabar kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:23 AM