AFP

Kohler, AS: Dustin Johnson melupakan sebarang memori buruk mengenai Whistling Straits apabila mendahului selepas pusingan pertama pada Kejohanan PGA AS semalam sekali gus mencuri tumpuan daripada Rory McIlroy dan Jordan Spieth.

Tolakan eagle dari jarak 28 kaki pada lubang ke-16 par-lima dan lima birdie menyaksikan Johnson menjadi pendahulu awal ketika pemain nombor satu dunia dan juara bertahan McIlroy, juara Masters AS dan Terbuka AS, Spieth dan pemenang Terbuka British, Zach Johnson menuju ke kotak tee pertama.

Ketika angin petang menyukarkan pemain untuk melakar catatan memberangsangkan di lapangan par-72 di tepi Tasik Michigan itu, catatan Johnson tidak dicabar hinggalah tamat pusingan pertama.

Pemain Sweden, David Lingmerth memberikan saingan sengit pada sebelah petang apabila menduduki tangga kedua dengan lima bawah par 67.

“Hari ini agak mudah,” jelas Johnson. “Saya berasa terlalu banyak bersabar, kekal fokus sepanjang hari dan semuanya menjadi. Saya berjaya menguasainya.”

Lapan pemain berkongsi tangga ketiga dengan empat bawah par 68: pemain Australia, Jason Day dan Matt Jones, pemain New Zealand kelahiran Korea Selatan, Danny Lee dan pemain Amerika, JB Holmes, Russell Henley, Matt Kuchar, Scott Piercy dan Harris English.

Namun pemain yang mendominasi menjelang kejohanan itu jelas bergelut.

McIlroy dan Spieth kedua-duanya mencatat satu bawah par 71, dengan Zach Johnson sekadar tiga atas par 75 yang menyebabkannya ketinggalan sembilan pukulan, berkongsi tangga ke-86 dalam kelompok yang termasuk Tiger Woods.

“Saya fikir catatan bawah par petang ini pasti sesuatu yang bagus,” ujar McIlroy yang dilihat tidak diganggu kecederaan ligamen buku lali kiri yang dialaminya pada 4 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:14 AM