KAPTEN AS,  Steve Stricker dan   Harrington  ketika sidang akhbar Piala Ryder  di  Kohler, Wisconsin.
KAPTEN AS, Steve Stricker dan Harrington ketika sidang akhbar Piala Ryder di Kohler, Wisconsin.
AFP

Kohler, Amerika Syarikat: Kapten Eropah, Padraig Harrington gembira dengan kehadiran ribuan penyokong Amerika Syarikat (AS) pada Piala Ryder namun akur sekatan akibat pandemik Covid-19 bakal mengurangkan jumlah penyokong Eropah di Whistling Straits.

Selepas kejohanan setiap dua tahun membabitkan AS dan Eropah itu ditunda kerana ketiadaan penonton susulan pandemik, jaguh Ireland itu tidak kisah dengan bunyi bising penonton apabila memulakan aksi Jumaat ini.

"Pemain kami beraksi untuk kemenangan,'' kata Harington. "Jika terdapat 40,000 penyokong AS dan tiada seorang pun Eropah, kami juga menyukainya daripada tiada langsung penonton. Itulah realitinya.

"Kami mahukan kebisingan itu. Kamu mahukan kemeriahan. Ya, pemain kami perlu hadapi itu semua. Tetapi mereka tidak mahu alternatif. Tiada penonton tidak menyeronokkan. Mereka akan nikmati lebih lagi permainan.''

Pasukan Eropah menang sembilan daripada 12 kejohanan terakhir Piala Ryder dengan yang terbaru di Perancis pada 2018 termasuk tiga di AS.

"Eropah pasukan kuat berdasarkan pengalaman,'' katanya. "Ia penting apabila anda beraksi di tempat lawan,'' kata Harrington.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 12:26 PM