TRAORE rai jaringan bersama rakan sepasukan.
TRAORE rai jaringan bersama rakan sepasukan.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Shah Alam: Jaringan tunggal Dramane Traore memastikan PDRM melonjakkan ke tangga ketiga Liga Super apabila membenam cabaran FELDA United 1-0 malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan The Cops yang menghuni tangga ketujuh Liga Super sebelum perlawanan di Stadium Shah Alam itu, mengatasi beberapa pasukan lain untuk mengumpul 31 mata untuk berada dalam kelompok tiga pasukan teratas.

FELDA United pula jatuh satu anak tangga, menghuni tempat kelima dengan 29 mata.

PDRM selaku tuan rumah yang dikendalikan Mohd Fauzi Pilus tidak menunggu lama apabila Traore melakukan tandukan seawal minit kelapan hasil hantaran Jaime Celestino.

Jaringan berkenaan menyentap semangat pasukan pelawat yang cuba mengatur serangan namun gagal membuahkan hasil dengan PDRM sebaliknya berpeluang menambah jaringan kedua menerusi Ashfaq Ali.

Namun Mohd Farizal Harun lebih pantas menyelamatkan percubaan pemain import dari Maldives itu pada minit ke-36.

Baki 45 minit terus menyaksikan pasukan pelawat memburu gol penyamaan dengan PDRM cuba mempertahankan kelebihan satu jaringan dimiliki.

Dibantu kecekapan Saiful Amar Sudar mengawal gawangnya, The Cops mempertahankan kelebihan tipis itu untuk memastikan kemenangan 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 8:19 AM