PEMAIN FELDA, Muhammad Shukor Adan (kiri)  mengasak pemain Terengganu, Issey Nakaima Farran   di Stadium Mini Selayang.
PEMAIN FELDA, Muhammad Shukor Adan (kiri) mengasak pemain Terengganu, Issey Nakaima Farran di Stadium Mini Selayang.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: FELDA United memberi amaran bersedia untuk menjadi pengacau buat dua pasukan teratas Pahang dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam kemuncak perebutan kejuaraan Liga Super.

Baki dua perlawanan cukup mencabar bagi FELDA United apabila terpaksa bertandang ke Kuantan untuk bertemu pendahulu liga Pahang Rabu ini sebelum melayan kunjungan Johor DT di laman sendiri tiga hari selepas itu.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim kini di tangga keempat liga dengan 32 mata, 11 mata di belakang dua pasukan teratas itu yang sukar digugat.

Bagaimanapun selepas meleburkan rekod enam kemenangan berturut-turut Terengganu kelmarin, skuad The Fighters itu tidak akan ‘beri muka’ kepada mana-mana pasukan kerana bagi mereka, enam mata daripada baki perlawanan liga cukup penting dalam menamatkan kempen di tangga ketiga liga.

“Pemain-pemain saya jika bertemu pasukan hebat, mereka akan memberikan aksi terbaik. Kami tidak akan memihak kepada mana-mana pasukan. Kami akan bermain di gelanggang lawan menentang Pahang Rabu ini dan kemudian Johor DT.

“Kami akan bermain bersungguh-sungguh di tempat lawan dan di laman sendiri. Sasaran kami adalah untuk menduduki tiga tempat teratas, kalau tak dapat, tempat keempat juga bagus untuk berada sebagai pasukan pilihan bagi kempen Piala Malaysia,”katanya.

Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, FELDA United yang sebelum ini mempamerkan aksi tidak konsisten berjaya mengejutkan Terengganu 1-0 hasil jaringan Makeche Ndumba pada minit ke-58.

Bagi Ahmad Yusoff yang mengambil alih tugas Abdul Rahman Ibrahim mengendalikan Terengganu Jun lalu mengakui anak buahnya tidak bernasib baik untuk merekod kemenangan ketujuh berturut-turut.

“Permainan nampak sama bagi kedua-dua pasukan cuma yang membezakannya adalah FELDA lebih memanfaatkan peluang manakala kami pula tidak. Dari segi semangat melawan saya memang bangga dengan pemain saya tapi kadang-kadang bola sepak kejam pada kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 10:16 AM