PENYERANG  Pahang Dickson Nwakaeme (kanan) melepasi kawalan pertahanan FELDA   United Bojan Miladinovic.
PENYERANG Pahang Dickson Nwakaeme (kanan) melepasi kawalan pertahanan FELDA United Bojan Miladinovic.
Oleh Rodly Fadly


Kuala Lumpur: FELDA United berazam tidak akan memberi sebarang laluan mudah buat Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada perlawanan terakhir Liga Super musim ini Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam ini.

Itu janji ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim yang mahu memastikan maruah The Fighters sebagai salah sebuah pasukan digeruni tidak tercalar.

“Saya tak ambil kisah siapa muncul juara, sama ada Johor DT atau Pahang kerana ia tidak ada kena mengena dengan pasukan saya. Tapi, apa yang pasti, FELDA akan tetap bermain bermati-matian demi maruah. Kalau Johor DT nak jadi juara, mereka kenalah bermandi peluh terlebih dulu kerana kami tidak akan memberi laluan mudah.

“Kami sudah buktikan kesungguhan dalam perlawanan dengan Pahang, Rabu lalu di mana mereka nyaris kalah. Saya berjanji Johor DT akan menerima layanan sama, nak jadi juara kena tewaskan kami tapi bukan mudah,” kata Irfan.

Menurut Irfan, selepas sasaran tempat ketiga tidak terjangkau, beliau kini hanya menuntut pemainnya menamatkan permainan di tempat keempat bagi muncul sebagai pasukan pilihan pada undian Piala Malaysia kelak.

“Satu perkara ajaib jika kami dapat mengetepikan Selangor atau Terengganu di tempat ketiga. Congakan mudah, jika kami menang ke atas Johor DT dan Selangor pula tewas kepada Perak, kami mempunyai mata yang sama dengan Selangor iaitu 36 tapi dari segi jaringan, kami sudah tidak terkejar. Mustahil kami dapat tewaskan Johor DT dengan jaringan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:10 AM