Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Pemain Perak yang bercuti selama enam hari bermula semalam diharap tidak mengabaikan tahap kecergasan diri agar mampu memulakan latihan intensif untuk menghadapi baki tujuh perlawanan Liga Super bermula 1 Ogos nanti.

Jurulatih The Bos Gaurus, Datuk M Karathu memberi peringatan itu kepada anak buahnya kerana tidak mahu latihan terjejas gara-gara tahap kecergasan pemain menurun kerana meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Seperti mana saya mahu mereka bergembira meraikan hari raya saya juga berharap pemain tidak mengabaikan tahap kesihatan dan kecergasan mereka,.

“Ini kerana pemain akan membuat pecutan akhir dalam 10 hai terakhhir sebelum kami turun ke gelanggang untuk menghadapi baki tujuh perlawanan nanti,”katanya.

Perak akan bertandang ke Kota Bahru untuk membuat perhitungan dengan The Red Warriors (TRW), Kelantan.

Malah Karathu berkata anak buahnya menghadapi tugas berat dalam baki tujuh perlawanan kerana bertemu pasukan-pasukan handalan seperti Johor Darul Ta’zim, Terengganu, PDRM, FELDA United dan Selangor

Malah daripada tujuh perlawanan itu pasukan Yob akan bertandang ke gelanggang lawan sebanyak empat kali iaitu bertemu Kelantan, PDRM, Johor DT dan Terengganu.

“Kami mempunyai misi sukar tetapi itulah cabaran yang perlu dihadapi pemain Perak jika ingin muncul juara liga.

“Saya berharap pemain bersedia mengharungi cabaran dalam usaha menggapai impian mencatat pencapaian memberansangkan dalam Liga Super kali ini,”katanya.

Perak ketika ini menduduki tangga ketiga carta di belakang Pahang dan Johor DT. Kedudukan itu berikutan kejayaan 3-1 Johor DT ke atas Selangor.

“Keputusan itu memberi peluang kepada Perak untuk terus kekal di tangga ketiga untuk seketika. Kini kami perlu mengusahkan kemenangan agar terus kekal bersaing untuk perebutan gelaran atau setidak-tidaknya pada kedudukan semasa,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:01 AM