Bas yang terbabit kemalangan di Kuala Krai pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Bas yang terbabit kemalangan di Kuala Krai pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Oleh Rohaida Omar

Kuala Krai: Ujian air kencing pemandu bas ekspres yang terbabit kemalangan di Kilometer 67.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Guchil, di sini, 5 pagi tadi negatif dadah.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai Asisten Superintendan Wan Azizi Wan Ahmad berkata, ujian air kencing pemandu kedua juga negatif dadah dan pemandu bas memaklumkan jarak penglihatannya terhalang kerana keadaan berkabus dan gelap.

“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih disiasat. Semua 45 penumpang dan pemandu bas cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK), di sini.

“Daripada jumlah penumpang itu, 17 daripadanya pelancong asing yang dalam perjalanan ke Jertih, Besut, Terengganu,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Krai, di sini.

Menurutnya, mangsa berjaya keluar dan ada yang diselamatkan orang awam selain pasukan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 3:10 PM