SEBAHAGIAN daripada enam anggota polis yang dihadapkan ke mahkamah, semalam selepas dituduh menerima rasuah Disember lalu.
SEBAHAGIAN daripada enam anggota polis yang dihadapkan ke mahkamah, semalam selepas dituduh menerima rasuah Disember lalu.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Enam anggota dari Balai Polis Muadzam Shah, Rompin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menerima rasuah RM8,000 dan tidak melaporkan kesalahan rasuah pada Disember lalu.

Tertuduh, Koperal Mazlan Muhd Nor, 34, Konstabel Mohamad Firdaus Abdullah, 24, Koperal Juhairy Jamaludin, 32, Lans Koperal Mohd Azmie Majid@Majied, 29, Lans Koperal Mohd Hazly Tomiran, 29, dan Konstabel Mohd Hafizi Abdullah, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.

Tertuduh pertama, Mazlan didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan iaitu wang tunai RM7,000 dan RM1,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori yang tidak mempunyai permit dan lesen membawa kayu getah.

Mohd Azmie, Mohamad Firdaus dan Mohd Juhairy didakwa bersubahat dengan Mazlan untuk menerima rasuah berkenaan.

Mohd Hazly dan Mohd Hafizi pula didakwa atas dua pertuduhan iaitu bersubahat dan tidak melaporkan perlakuan rasuah yang dilakukan oleh Mazlan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 9:24 AM