Shamsul Munir Safini


DUA anggota polis mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Lans Koperal Ahmad Ammar Hassan dan Konstabel Mohd Hafiz Mohd Noor, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh pada 20 Mei 2017, 2.30 pagi di Persiaran Jenahak, Seberang Jaya, didakwa meminta wang suapan RM1,000 daripada dua lelaki selepas seorang daripada mereka didapati memandu dengan lesen dan cukai jalan tamat tempoh, selain rakannya mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah.

Bagi pertuduhan kedua, pada 3.50 pagi hari sama, mereka dituduh secara rasuah memperoleh suapan RM500 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dua lelaki terbabit.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16a(b) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Amin Yaacub, yang meminta mahkamah mengenakan ikat jamin setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.

Sitarun Nisa kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 12:35 PM
PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi dua anggota polis untuk didakwa meminta suapan di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi dua anggota polis untuk didakwa meminta suapan di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam