DUA anggota polis dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini. FOTO Tasnim Lokman.
DUA anggota polis dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini. FOTO Tasnim Lokman.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,500 sebagai dorongan untuk mengurangkan berat syabu dirampas.

Tertuduh, Muhammad Rayyan John Abdullah, 30, dan Stenley Blasius, 36, kedua-duanya beralamat di Kuarters Polis Pekan membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam cawangan Pekan pada 11 malam 7 Mac lalu.

Tertuduh yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan menerima suapan antara RM500 hingga RM1,500 menerusi lima transaksi daripada seorang pengadu menggunakan kad bank milik adik perempuannya.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Saifuldin Ab Rahman.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 seorang.

Saifuldin memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan pihaknya percaya kedua-dua tertuduh tidak akan melarikan diri dan memberi kerjasama kepada mahkamah.

“Tertuduh pertama menanggung isteri dengan pendapatan bersih sebanyak RM1,000 sebulan manakala tertuduh kedua mempunyai isteri dan lima anak,” katanya.

Mohd Ghazali kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 13 November depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 3:18 PM