BMW R 1200 RS.
BMW R 1200 RS.
Oleh Erywan Norshal


BMW Motorrad Malaysia mengembangkan rangkaian motosikal berkuasa tingginya di negara ini dengan memperkenalkan dua model terbaru menerusi BMW S 1000 XR dan BMW R 1200 RS.

Kedua-dua model itu menjadi penanda aras baru dalam dunia motosikal berkuasa tinggi kategori sports, touring dan adventure dengan dilengkapi teknologi serta rekaan terkini.

Sebagai model keempat dalam rangkaian motosikal berprestatasi tinggi BMW Motorrad yang dikuasakan enjin empat silinder sebaris, BMW S 1000 XR dibangunkan dengan menggabung­kan teknologi inovatif, prestasi serta dilengkapi ciri keselamatan seperti model terdahulu.

Malah, ia menawarkan karakteristik baru dikenali sebagai ‘Adventure Sport’ yang dikatakan memiliki kualiti jentera touring dinamik, prestasi sporty, tahap keselesaan tinggi dan sesuai bagi tunggangan harian.

Rekaan luaran yang kontras dan berarca menyerlahkan wajah dinamik serta tampak imej tiga dimensi pada bahagian ‘fairing’.

Bahagian sisi fairing yang bersimetri menjelaskan hubungannya dengan jentera segmen sports serta garisan tajamnya menggambarkan keringanan dan kelincahan BMW S 1000 XR baru.

Enjin bersesaran 999cc sebarisnya mampu menghasilkan kuasa maksimum 160hp dan tork mencecah 112Nm.

Bagi memberikan maklum balas segera pada enjin yang rendah dan sederhana, ia memiliki kuasa tork yang tinggi dan boleh digunakan serta-merta.

Gabungan pilihan Gear Shift Assist Pro membuatkan penunggang tidak perlu menukar gear dengan kerap jika mahu mengadaptasi gaya tunggangan sporty atau sekadar mengharung perjalanan yang jauh dengan BMW S 1000 XR.

Satu lagi ciri penting motosikal adventure sports itu ialah sistem ekzos tahan karat berkualiti tinggi dengan peredam bunyi ber­bentuk pentagon pada bahagian belakang.

Bagaimanapun, ia mematuhi garis panduan emisi dan bunyi bising paling ketat tanpa perlu mengorbankan aspek tujahan kuasanya.

BMW R 1200 RS pula jentera sports tourer baru dijanakan enjin flat-twin dan terbukti menyerlahkan kualiti konsep asal BMW RS ke dalam dunia moden bersama impak luar biasa.

Sama ada menunggang di laluan sempit, menguji prestasi dinamiknya atau pergi bercuti ke destinasi yang jauh, BMW R 1200 RS sememangnya membawa jentera sports touring ke satu tahap baru yang lebih mengujakan.

Ia masih mengekalkan ciri klasik dalam segmen sports tourer dengan gaya kompak, berkuasa dan aerodinamik sekali gus menjanjikan pengalaman tunggangan lincah serta dinamik.

BMW R 1200 RS baru tampil bersaiz pendek, bahagian belakang tinggi, tangki berbentuk maskular dengan pandangan hadapan yang kompak dan rendah.

Wajahnya dibentuk oleh lampu utama berkembar yang dinamik dengan bentuk simetri, sama seperti model touring BMW Motorrad.

Padanan enjin boxer flat twin DOHC yang turut berkongsi dengan model BMW R 1200 GS, BMW R 1200 GS Adventure dan BMW R 1200 RT mampu menghasilkan kuasa maksimum 125hp dan tork mencecah 125Nm.

Enjin boxer bersesaran 1,170 cc itu turut dilengkapi sistem pe­nyejukan udara/cecair dengan larutan air/glycol bertindak sebagai agen penyejukannya.

Padanan ciri dan teknologi terkini, jentera itu kini dijual pada harga RM112,900 bagi BMW S 1000 XR, manakala BMW R 1200 RS berharga RM 101,900 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:02 AM