GAYA kompak premium BMW X2.
GAYA kompak premium BMW X2.
Mohd Razlan Salleh


BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW X2 sDrive 20i M Sport yang pertama di negara ini, model terbaru bagi segmen Sports Activity Coupes (SAC).

Model kompak premium itu dicipta khas dengan ciri sporty, dinamik dan reka bentuk urban.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, model BMW X sudah lama bertapak di negara ini apabila lebih 4,200 siri X terjual sepanjang tahun lalu.

“Hari ini, kami memperkembangkan portfolio BMW X dengan pengenalan jentera BMW X2 yang pertama di negara ini.

“Jentera premium kompak SAC menjanjikan pe­ngalaman pemanduan tiada tandingan melalui kese­imbangan pemanduan dinamik berciri sport, di samping penambahan ruang kabin pada kenderaan,” katanya ketika majlis pelancaran.

Harald berkata, ketika di jalan raya, kondisi jentera siri X umpama atlet yang berada pada tahap kemuncaknya.

BMW X2 diperkenalkan melalui variasi BMW X2 sDrive20i M Sport dengan reka bentuknya garang dan maskulin.

Secara keseluruhannya, reka bentuk BMW X2 memberikan ekspresi dinamik dengan ciri coupe serta grafik tingkap yang langsing.

Jentera ini dijana enjin TwinPower Turbo yang memastikan pengalaman pemanduan tiada tandingan.

Antara ciri menarik ialah gril ‘ginjal’ yang sinonim dengan BMW, dibentuk lebih lebar.

Reka bentuk lampu hadapan lebih tajam mewujudkan kelebihan dinamik termasuk lampu utama dan lampu kabus LED.

Corengan glos pada emblem BMW yang terletak pada C-Pillars memberi penghormatan kepada tradisi penciptaan premium sports coupe ciptaan BMW.

Pakej BMW M Aerodynamics dipadankan dengan trim tayar dan salutan pewarna pelindung pada permukaan semua pintu kereta termasuk spoiler belakang.

Skirt sisi, rim bersaiz 19 inci dan suspensi BMW M Sport menyebabkan BMW X2 rendah 10 milimeter (mm) untuk pemanduan yang menakjubkan.

Ruangan dalaman ­dilengkapi pencahayaan LED ambien dalam variasi pilihan warna.

Teknologi BMW Head-Up Display berwarna me­nyiarkan maklumat ber­kaitkan pemanduan selain Navigation Plus dengan paparan sentuh 8.8 inci bersama empat pembesar suara dan dua woofer.

Model kompak premium ini dikuasakan enjin petrol 2.0L BMW TwinPower Turbo dengan Valvetronic membolehkan kelajuan maksimum sehingga 227 kilometer sejam (km/j). Secara keseluruhan, nadi kuasa jentera ini menjana 192 kuasa kuda (hp) dan tork 280Nm.

BMW X2 sDrive 20i M Sport dijual pada harga RM320, 800 (tanpa insurans) dengan tiga warna pilihan seperti Emas Galvanic, Biru Misano dan Oren Sunset.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 11:06 AM