BMW F 850 GS selesa untuk semua permukaan jalan.
BMW F 850 GS selesa untuk semua permukaan jalan.
Mohd Razlan Salleh

BMW Motorrad Malaysia bakal membawa masuk model terbaharu BMW F 850 GS yang menawarkan prestasi unggul dengan suntikan terkini teknologi dua roda.

Diperkenalkan kepada umum ketika BMW Motorrad Nightfuel di Johor Bahru, minggu lalu, F 850 GS dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya November depan.

Model diimport sepenuhnya (CBU) dari kilang BMW Motorrad, Berlin, Jerman, generasi terkini dalam ahli keluarga GS kelas pertengahan yang paling sempurna dari segi enjin dan reka bentuk.

Antaranya profil GS yang lebih tajam dengan reka bentuk dinamik dan ciri perlindungan angin dipertingkatkan menampilkan rupa paras maskulin.

Masih mengekalkan ciri ikonik seperti lampu hadapan asimetrik, namun ‘flyline’ lebih langsing memanjang ke tangki bahan api sehingga ke pelana yang sinonim dengan jentera GS.

Ketua BMW Motorrad Malaysia Owen Riley, berkata BMW F 850 GS baharu menjanjikan reka bentuk sporty, enjin diperbaharui, teknologi suspensi yang dioptimumkan dan keupayaan elektronik bagi pengalaman tunggangan ‘offroad’ luar biasa.

“BMW F 850 GS bakal dilancarkan akan membawa anda di atas dan di luar jalan sama ada untuk tujuan penjelajahan atau mengharungi laluan berliku serta paling mencabar.

“Sejak pengenalannya pada 2007, model GS dalam siri F melambangkan pengalaman tunggangan premium bagi segmen pengembaraan kelas pertengahan dengan kebolehan penjelajahan dan pemanduan jarak jauh selain digabungkan bersama ciri dinamik serba sporty serta prestasi tunggangan offroad cemerlang,” katanya.

Riley berkata, BMW Motorrad kini tampil dengan rekaan dan pembangunan semula bagi model GS kelas pertengahan, sejajar objektif jenama ini untuk menghasilkan jentera tunggangan luar biasa yang lebih ringkas dan selesa.

Digerakkan enjin 853cc dua silinder sebaris terbaharu, jentera ini mampu meningkatkan tahap kuasa dan tork tetapi tahap penggunaan bahan api minimum.

STABIL di jalan raya.
STABIL di jalan raya.

Nadi 95 kuasa kuda (hp) pada 8,250 rpm manakala daya kilas maksimum 92 Nm pada 6,250 rpm membuktikan keupayaan enjinnya yang luar biasa.

Enjin terbaharu ini dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac ‘self-amplifying’ dan ‘anti-hopping’ yang menawarkan tarikan lebih ringan.

Aci engkol (crankshaft) dengan keseimbangan pada tahap 90 darjah pula menghasilkan bunyi yang padu dan lincah manakala gegaran tidak diinginkan diserap dua aci pengimbang balas pada enjin.

Model ini juga memenuhi kehendak penunggang dengan menawarkan mod ‘Rain’ dan ‘Road’ sebagai kelengkapan standard.

Bagi penunggang profesional, mod tunggangan tambahan ‘Dynamic’, ‘Enduro’ dan ‘Enduro Pro’ mampu disesuaikan untuk kebanyakan kondisi jalan raya.

Kombinasi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Pengawal Kestabilan Automatik (ASC) BMW Motorrad menawarkan tahap keselamatan tertinggi.

Bingkai penghubung (bridge frame) BMW F 850 GS diperbuat daripada komponen ‘deep-drawn’ yang dikimpal manakala tangki bahan bakar diletakkan pada kedudukan klasik antara pelana dan pemegang bagi mengoptimumkan graviti jentera.

Roda hadapan dengan fork teleskopik USD 43 milimeter (mm) dan lengan berayun aluminium dwi-bahagian dengan topang spring pusat, BMW F 850 GS hadir dengan rim 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

BMW F 850 GS baharu didatangkan dengan penawaran standard seperti instrumen kluster paparan TFT 6.5 inci berwarna memaparkan informasi jentera, membuat panggilan telefon atau menghidupkan muzik melalui sambungan pada telefon pintar.

Bagi menjamin ciri eksklusif jentera, BMW Motorrad hanya akan membawa masuk warna putih untuk pasaran tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 4:00 AM