BMW R 1200 RS.
BMW R 1200 RS.
PANDANGAN belakang tampak garang.
PANDANGAN belakang tampak garang.
REKAAN lampu hadapan berkembar.
REKAAN lampu hadapan berkembar.
METER kelajuan penuh dengan maklumat.
METER kelajuan penuh dengan maklumat.
PELBAGAI butang pada gagang.
PELBAGAI butang pada gagang.
BREK belakang Brembo.
BREK belakang Brembo.
Oleh Erywan Norshal


BMW mempunyai sejarah lama dalam motosikal berkuasa tinggi menerusi model siri RS selepas kali pertama diperkenalkan pada 1976 dengan varian R100RS.

Kini jentera dalam kategori ‘sport touring’ itu kembali dengan model BMW R 1200 RS yang berada dalam rangkaian BMW S 1000 RR, K 1300 S dan HP4.

Keistimewaan BMW R 1200 RS ialah enjin Boxer Berkembar yang berkongsi dengan model popular lain seperti R 1200 GS, R 1200 GS Adventure dan R 1200 RT.

Ketika menguji jentera ini baru-baru ini, penulis berasakan posisi tunggangannya menawarkan yang terbaik dalam kategori motosikal ‘sport touring’ di mana tempat duduk, pemegang serta kedudukan kaki sangat ideal. Posisi tunggangan itu ternyata memberikan keselesaan kepada penulis ketika berada di lebuh raya, selain kurang rasa penat biarpun terpaksa menunggang jarak jauh.

Pelindung angin yang berada di bahagian hadapan memberi kelebihan ketika menunggang dengan kelajuan tinggi. Ia banyak membantu sepanjang penulis menguji motosikal ini bagi mengurangkan beban angin yang terlalu kuat ketika meluncur di lebuh raya.

Malah, pelindung angin itu membuatkan penulis tidak sedar bahawa motosikal yang ditunggang sudah pun mencecah kelajuan 180 kilometer sejam (km/j), selain kurang rasa gegaran daripada enjin Boxer Berkembar itu.

Prestasi yang dibekalkan menerusi enjin bersesaran 1,170 cc sangat mengujakan selepas menghasilkan 125PS dengan tork setinggi 125Nm pada 6,500rpm. Kuasa yang dibekalkan bertindak balas dengan pantas mengikut kemahuan, malah penulis tidak perlu menukar gear rendah sekiranya mahu memecut pada kelajuan tinggi.

Bagaimanapun, model berkenaan hadir dengan bantuan elektronik termasuk ABS, Kawalan Kestabilan Automatik dan mod Hujan serta Jalan bagi memberi pengalaman tunggangan yang dinamik. Mod itu hadir sebagai ciri standard bagi mengawal penghantaran kuasa serta tindak balas enjin yang bersesuaian dengan keadaan persekitaran.

Ciri bantuan elektronik itu nampaknya memberi banyak kelebihan bagi memastikan keselamatan penunggangnya, namun ia juga masih memenuhi cita rasa penggunanya sekiranya mahu gaya tunggangan agresif.

Pengendaliannya sungguh responsif dan ia memberi ‘bonus’ buat BMW R 1200 RS ini. Lebih-lebih lagi ia dilengkapi teleskopik terbalik 45 milimeter (mm) di bahagian hadapan yang diilhamkan daripada motosikal BMW S 1000 RR.

Bahagian belakang pula, ia menggunakan pangsi ayun (swingarm) tunggal serta dipadankan sistem BMW Motorrad Paralever yang boleh diubah mengikut beban.

Kuasa hentiannya dipertingkatkan menggunakan brek Brembo empat omboh dengan cakera hadapan 320mm manakala belakang menggunakan dua omboh yang turut dilengkapi BMW Motorrad Integral ABS.

Rekaannya pula berkonsepkan dinamik moden yang diadunkan menggunakan motosikal kategori sport dan touring.

BMW R 1200 RS baru tampil bersaiz pendek, bahagian belakang tinggi, tangki berbentuk maskular dengan pandangan hadapan yang kompak dan rendah.

Menariknya, lampu hadapan bersimetri memberi ciri berbeza diambil daripada siri RR serta bahagian penunggang padat dengan pelbagai butang bagi memudahkan mencapainya.

Kali pertama melihatnya ia tampak unik tetapi butang yang disediakan itu memberi banyak kemudahan kepada penulis untuk memilih mod tunggangan.

Panel meter kelajuan pula memberikan pelbagai maklumat penting kepada penunggang seperti jarak perjalanan, suhu enjin, kelajuan, tekanan angin tayar serta tahap penggunaan bahan api.

Jentera ini juga dianggar mampu ditunggang jarak jauh dengan satu tangki penuh. Jika mengikut spesifikasi diberi, tangki dengan kapasiti 18 liter itu boleh mencapai jarak perjalanan melebihi 300 kilometer sekiranya menunggang dalam kelajuan purata 120 km/j.

INFO

BMW R 1200 RS

- ENJIN: 1,170 cc empat lejang cecair penyejuk

- KUASA MAKSIMUM: 125 PS

- TORK MAKSIMUM: 125 Nm pada 6,500 rpm

- TRANSMISI: Enam kelajuan manual

- BERAT KELENGKAPAN STANDARD: 214 kilogram

- KAPASITI BAHAN API: 18 liter

- KELAJUAN MAKSIMUM: Melebihi 200 km/j

- HARGA: RM101,900 termasuk GST.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:02 AM