GAYA menarik.
GAYA menarik.
Erywan Norshal


Sejak pertumbuhan segmen motosikal premium yang semakin memberangsangkan dua tahun lalu, BMW Group Malaysia mengambil peluang itu dengan melancarkan motosikal terbaharu menerusi skuter BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT.

Keistimewaan segmen skuter maxi itu adalah menggabungkan aspek praktikaliti dengan keseronokan dan keselesaan tunggangan jarak jauh.

Dari segi penampilan, BMW C 650 Sport hadir dengan rekaan semula yang boleh dilihat menerusi bahagian hadapan merangkumi panel sisi atas, bawah dan perumah lampu.

BMW C 650 GT pula menerima pembaharuan pada bahagian belakang dengan panel kemasan pada sebelah kiri, kanan dan tengah, di samping lampu belakang lebih bergaya.

Malah, perumah cermin sisi BMW C 650 GT dioptimumkan lagi bagi memastikan penunggang mempunyai pandangan belakang yang jelas. Kedua-dua varian dilengkapi pelindung bar pemegang dengan gaya baharu kemasan krom.

Model berkenaan berkongsi enjin dua silinder empat injap dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 647cc yang menyalurkan kuasa maksimum mencecah 60hp pada 7,750rpm dan tork maksimum sehingga 63Nm pada 6,000rpm.

Pemetaan enjin juga dilakukan bagi memastikan ia menepati piawaian emisi Euro 4, selain peredam menawarkan bunyi yang lebih sedap didengar serta menepati ujian bising ECE R41-04.

Sistem transmisi ditala dengan menggunakan pelapik klac baharu sekali gus memberikan maklum balas lebih dinamik.

Kedua-dua jentera itu menawarkan keseimbangan sempurna antara penampilan yang sporty dan keselesaan selepas mengekalkan sistem suspensi dengan struktur komposit hibrid tegar, kerangka tiub besi dan unit aluminium tuangan terap pada bahagian galas lengan ayun.

Penggunaan lengan ayun tunggal daripada aloi ringan menyumbang kepada kestabilan tunggangan yang maksimum.

Padanan roda bersaiz 15 inci menjanjikan kestabilan tunggangan dan memudahkan pengendalian di laluan berselekoh.

Sebagai satu tradisi terbaik BMW Motorrad, reka bentuk sistem brek BMW Motorrad ABS adalah ciri standard dengan padanan roda hadapan menggunakan sistem brek cakera berkembar berdiameter 270 milimeter.

Tugas membrek roda belakang pula diserahkan kepada sistem brek cakera tunggal berdiameter 270 milimeter dan dua omboh angkup terapung.

Ia juga dilengkapi sistem keselamatan Kawalan Kestabilan Automatik sebagai ciri standard di mana BMW C 650 Sport dan BMW C 650 GT dijual pada harga RM64,900 serta RM68,900 atas jalan termasuk insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:01 AM