BMW F 700 GS
BMW F 700 GS
Oleh Lizam Ridzuan


Penggemar tunggangan lasak atau sekadar menjelajah sambil menatap pemandangan bandar dan desa pasti tertarik mengetahui BMW Motorrad Malaysia menyediakan dua motosikal berkuasa tinggi bertepatan dengan aktiviti mereka.

Dua jentera berkenaan ialah model BMW F 700 GS dan BMW F 800 R yang dipasang kilang BMW Motorrad di Rayong, Thailand. Biarpun berbeza karakter, kedua-dua model itu menggunakan nadi yang sama iaitu enjin sejukan cecair dua silinder bersesaran 798cc dengan suntikan bahan api elektronik.

Kedua-duanya juga menggunakan kotak gear enam kelajuan yang menjanjikan tunggangan responsif, bertenaga serta jimat minyak, lantas menjadi tarikan utama buat pembeli dalam memilih motosikal berkuasa tinggi idaman mereka.

Lebih menarik, model itu tidak hanya mengutamakan kelajuan, juga mementingkan ciri keselamatan dengan dilengkapi BMW Motorrad ABS prinsip ‘Safety 360’ dan pada masa sama memberi kenikmatan menunggang motosikal jenama BMW.

Di samping soal keselamatan menunggang, ruang hadapan dua model itu dilengkapi skrin rata untuk memudahkan melihat dan memberi maklumat teknikal kepada penunggang dengan memaparkan kelajuan, penggunaan bahan api, jarak untuk pengisian semula serta informasi lain.

Model F 700 GS baru merupakan jentera versatil yang direka untuk kepuasan tunggangan lasak atau tunggangan dalam bandar seperti keluarga GS lain.

Konsep yang diketengahkan menerusi jentera itu ialah lebih ringan dan mudah dikawal ketika mengharungi sebarang permukaan jalan dengan menghamburkan 75 kuasa kuda (hp) dan tork setinggi 77 Newton meter (Nm). Tempat duduknya pula lebih rendah sebagai pilihan dan direka untuk bersesuaian faktor ketinggian setiap penunggangnya.

BMW F 800 R pula jentera roadster kategori ‘naked’ yang bersesuaian untuk tunggangan urban atau penjelajahan dengan menawarkan keupayaan enjin 87 hp serta tork maksimum 86 Nm.

Sebagai alternatif berbanding F 700 GS, tempat duduk F 800 R lebih lebar dengan membolehkan penunggang lebih selesa ketika mencelah dalam kesesakan lalu lintas atau meluncur laju di lebuh raya.

Selain itu, ia memiliki ciri keselamatan lebih baik de­ngan inovasi terkini membabitkan Kawalan Kestabilan Automatik (ASC) dan Larasan Suspensi Elektronik (ESA) untuk varian Sport, selain ciri unik Kawalan Tekanan Tayar.

BMW F 800 R juga ditawarkan varian Sport yang tampak lebih agresif dengan padanan teknologi LED untuk lampu belakang serta penutup hitam untuk menutupi enjin.

Sementara itu, BMW F 700 GS yang tampil dengan corak rekaan warna baru iaitu Alpine White, Blackstorm serta Racing Blue, dijual pada harga RM56,900 tanpa insurans.

BMW F 800 R baru pula berharga RM49,900 manakala BMW F 800 R Sport dijual RM53,500 atas jalan tanpa insurans dan didatangkan dengan dua pilihan warna ia­itu Racing Blue dan Light White.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:02 AM