PEMAIN  Kelantan, Wan Zack Haikal (kiri)  dihalang pemain  ATM  Obina Nwaneri.
PEMAIN Kelantan, Wan Zack Haikal (kiri) dihalang pemain ATM Obina Nwaneri.
Oleh Muhamad Razis Ismail


Kota Bharu: Pasukan Kelantan seolah-olah ‘melepas geram’ dengan berpesta gol di Stadium Sultan Muhammad ke IV selepas membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1 pada aksi LIga Super semalam.

Hasilnya seawal minit ketiga penyerang import Colombia Erwin Carillo menjaringkan gol pertama The Red Warriors (TRW) hasil lorongan Gilmar Da Silva.

Bagaimanapun, keghairahan TRW memburu gol kedua selepas itu memakan diri apabila pelawat berjaya mencuri peluang menyamakan kedudukan pada minit kelapan menerusi sepakan deras Venice Elphi.

Usaha tuan rumah menambah jaringan berhasil apabila penyerang Wan Zack Haikal menjaringkan gol kedua m-38 menerusi hasil hantaran lintang Fitri Omar.

Selang empat minit kemudian pesta gol bermula melalui Mohd Nor Farhan menambah derita ATM dengan gol ketiga selepas Syed Adney gagal menangkap kemas sepakan Da Silva pada minit-minit akhir separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, ATM terpaksa beraksi dengan 10 pemain m-57 apabila Nor Fadly Alias dilayangkan kad kuning kedua selepas menjatuhkan Carillo di luar kotak penalti.

Kesempatan itu dimanfaatkan tuan rumah untuk mengasak kubu ATM sehinggalah Carillo menjaringkan gol keempat m- 63 selepas berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan.

Tidak cukup itu TRW menambah gol kelima menerusi pemain gantian Wan Zaharul Nizam m-73.

Semangat pemain lawan jelas pudar dengan TRW terus mempamerkan aksi bertenaga dengan melancarkan banyak serangan berbahaya untuk menambah jaringan namun kecemerlangan Syed Adney berjaya mengagalkan percubaan itu sehingga wisel penamat ditiup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:13 AM