FAKHRUL Zaman pamer kebolehan pada aksi menentang Sarawak.
FAKHRUL Zaman pamer kebolehan pada aksi menentang Sarawak.
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Pengendali The Red Warriors Zahasmi Ismail memuji aksi cemerlang ditampilkan pemain muda pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Beliau berpuas hati dengan pemain skuad Piala Presiden, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, Mohd Amir Zikri Fauzi dan Mohamad Qayyum Marjoni Sabil yang lincah walaupun bermain di samping pemain senior, sekali gus menyumbang kemenangan 4-3 ke atas Sarawak.

“Saya memberi laluan kepada pemain muda kerana kebetulan kebanyakan pemain senior berdepan penggantungan, selain beri pengalaman kepada mereka. Bagaimanapun, mereka (pemain muda) menunjukkan kebolehan yang baik dalam perlawanan itu.

“Saya cukup puas hati dengan persembahan mereka walaupun pasukan tidak dibarisi kesebelasan utama. Mereka menunjukkan penguasaan bola sangat baik sehingga menyumbang kepada kemenangan pasukan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Kelantan bermula garang apabila memperoleh gol pertama menerusi Noor Hazrul Mustafa pada minit ke-12 diikuti jaringan kedua Khairul Izuan Rosli sebelum separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Iwuji Amamchi menambah derita Sarawak dengan menjaringkan gol ketiga m-73.

Bagaimanapun, Sarawak merapatkan kedudukan menerusi J Parthiban m-77 dan Billy Osman Mehmet m-78.

Selang dua minit kemudian Kelantan menambah jaringan menerusi Gilmar Da Silva diikuti jaringan Sarawak menerusi Mehmet sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:56 AM