PEMAIN Kelantan, Mohd Azwan Mohd Aripin diasak pemain Kuala Lumpur, Mohd Zaquan Adha Abd Razak (kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV. FOTO Fathil Asri
PEMAIN Kelantan, Mohd Azwan Mohd Aripin diasak pemain Kuala Lumpur, Mohd Zaquan Adha Abd Razak (kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV. FOTO Fathil Asri
Hasbullah Ibrahim


KELANTAN berjaya menamatkan episod kekalahan selepas menang bergaya menewaskan Kuala Lumpur 4-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

Kelantan selaku tuan rumah terlebih dulu menguji pintu gawang pelawat dua kali menerusi rembatan deras Nik Azli Nik Alias dalam kotak penalti pada minit ke-2 dan minit ke-6.

The Red Warriors (TRW) akhirnya membuka jaringan  pada minit ke-9 menerusi Nik Azli Nik Alias yang merembat deras bola hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Ahmad Solehin Mamat.

Selang enam minit, TRW menghasilkan jaringan kedua susulan kesilapan penjaga gol pelawat yang gagal mengeluarkan bola yang tertampan penyerang tuan rumah, Shafiq Shaharudin pada minit ke-15.

Kuala Lumpur berpeluang merapatkan jurang gol pada minit ke-21 dan minit ke-37, namun sepakan deras Mohamad Hisyamudin Mohamad Sha'ari dan Ashri Chuchu sedikit tersasar walaupun hanya berdepan penjaga gol tuan rumah.

TRW memiliki peluang terhidang menambah jaringan pada minit ke-44 menerusi Nik Azli Nik Alias namun tersasar untuk menyaksikan kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh pertama.

Bersambung babak kedua, Bobirjon Akbarov terlepas peluang terhidang menjaringkan gol apabila tindakan susulan selepas sepakan percuma Indra Putra Mahayudin sedikit melepasi gawang gol minit 49.

Fajer Ebrahim melakukan tiga pertukaran apabila menggantikan Mohamad Khairul Rizam Che Soh, Mohd Imran Samso dan Nik Azli Nik Alias dengan Muhammad Danial Ashraf Abdullah,Muhammad Haikal Mohd Nasri dan Muhammad Syaiful Alias untuk memperkemaskan jentera serangan tuan rumah.

Bekas penyerang Johor Darul Ta'zim II(JDT II), Shafiq Shaharudin menambah koleksi jaringan peribadi dengan menjaringkan gol ketiga minit 68 menewaskan Ahmad Solehin Mamat.

Bekas penyerang TRW yang juga kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayudin kembali merapatkan jurang gol menerusi tandukan deras pada minit ke-79 menewaskan penjaga tuan rumah, Muhammad Fikri Che Soh.

Pada minit ke-88 pemain tengah tuan rumah, Nik Akif Syahiran Nik Mat menambah derita pelawat menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol pelawat buat kali keempat.

Selang dua minit, pelawat menambah jaringan pada minit ke-90 menerusi Zhafri Yahya yang menewaskan penjaga gol tuan rumah kali kedua. Keputusan 4-2 kekal sehingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 11:49 PM