Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Berhad (PNS) mengunjurkan peruntukan pembiayaan antara RM55 juta hingga RM60 juta untuk peniaga tempatan bagi menceburi industri francais negara dalam usaha meningkatkan sektor itu di Malaysia tahun ini.

Pengurusinya Datuk Idris Hashim berkata, hasrat itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk memajukan industri francais negara supaya sektor itu turut berfungsi dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami memperuntukkan RM50 juta hingga RM70 juta dari tahun ke tahun untuk pembiayaan perniagaan francais di Malaysia, bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan peniaga bagi menampung keperluan tersebut.

“Perkembangan sektor ini juga dilihat lebih mantap daripada negara maju seperti Amerika Syarikat kerana kita masih baru dan ghairah untuk memulakan perniagaan,” katanya di sini, baru- baru ini.

Mengulas lanjut tentang perancangan terbaru PNS, beliau berkata, organisasi tidak merangka pembaharuan untuk tahun 2015, namun akan meneruskan usaha membantu peniaga tempatan melebarkan sayap dalam sektor yang sedang berkembang dengan baik itu.

Hadir sama, Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzamann Syed Zainol Khodki Shahabudin.

Dalam usaha itu, PNS sudah membuka beberapa pejabat koridor di Pulau Pinang, Kuantan, Johor, Sabah dan Sarawak untuk memberi kemudahan kepada peniaga di setiap negeri berurusan dengan syarikat terbabit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif World Franchise Associates, Amerika Utara, Martin Hancock, Malaysia berada dalam kedudukan ketiga terbaik dalam industri francais di Asia dan negara mempunyai daya saing yang lebih mantap.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak sudah merasmikan Sidang Kemuncak Francais Antarabangsa 2015 dan Menara Perbadanan Nasional Berhad.

Seramai 400 peserta dari lapan negara antaranya Nigeria, Indonesia, India dan Singapura mengambil bahagian dalam majlis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:04 AM