AZLINA Juliani.
AZLINA Juliani.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Berhad (PNS) berada di landasan tepat untuk memantapkan lagi industri francais negara dengan mengumpulkan francaisor dan francaisi menerusi Sidang Keusahawanan dan Francais Antarabangsa 2019 (IFEC 2019).

Ketua Pegawai Operasi (Sokongan Perniagaan) PNS, Azlina Juliani Abd Jalil berkata, IFEC 2019 bakal diadakan pada 28 November depan sempena sambutan ke-50 tahun PNS.

Katanya, PNS menjangkakan sebanyak 500 pemain industri akan berkumpul di IFEC yang dijadikan sebagai platform bagi mentransformasi perniagaan francais selain membincangkan strategi perniagaan yang lebih berkesan, efektif dan terperinci.

“PNS bersama kerajaan bergerak seiring dengan dasar keusahawanan negara ke arah negara keusahawanan dan kemakmuran bersama.

“Oleh itu, acara IFEC 2019 ini adalah bertepatan untuk melahirkan lebih ramai usahawan francais tempatan yang berjaya.

“Antara francaisor dari luar negara yang akan mengambil bahagian sempena IFEC 2019 adalah dari Australia, United Kingdom, Singapura dan Filipina,” katanya di sini.

IFEC 2019 akan berlangsung pada 28 November 2019 bertempat di Hotel Grand Hyatt dengan tema Penumpuan Teknologi dan Trend: Bagaimana Ia Mempengaruhi Francais dan Landskap Peruncitan.

Program ini adalah inisiatif PNS yang mengumpulkan penggiat industri bagi membantu memacu perniagaan mereka selaras dengan kepesatan teknologi agar mampu berdaya saing dalam industri francais.

Azlina berkata, setakat ini pertumbuhan industri francais di negara ini mencatatkan peningkatan lapan peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan ini disokong dengan kemunculan jenama baharu dan ia mampu merancakkan lagi industri francais.

“PNS juga sedang dalam proses membangunkan model perniagaan baharu francais dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan dan diharap dapat menjadi pemangkin francaisor yang mampu menguasai pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 9:14 AM