AHMAD Reza bersama anak-anaknya dalam perjalanan ke Sepang. FOTO Facebook/Abdullah Firdaus Baharuddin
AHMAD Reza bersama anak-anaknya dalam perjalanan ke Sepang. FOTO Facebook/Abdullah Firdaus Baharuddin
Oleh Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: "Sesiapa sahaja yang mempunyai naluri seorang bapa pasti akan melakukan tindakan sama seperti saya tetapi tidak sangka pula ia mendapat perhatian."

Begitulah kata Ahmad Reza Samsuddin, 38, yang gambarnya menunggang motosikal bersama tiga anak lelakinya berusia antara lima dan tiga tahun menjadi viral di media sosial sejak kira-kira dua minggu lalu.

Gambar Ahmad Reza bersama tiga anaknya, Rafael Haikal, 8, Rafique Danial, 5, dan Danish Bunyameen, 3, yang menaiki Honda EX5 menjadi viral awal Ramadan lalu ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Sepang ke Pulau Pinang.

Menceritakan tindakannya itu, Ahmad Reza yang juga duda, berkata dia sendiri tidak sangka mampu menempuhi perjalanan kira-kira 16 jam dengan jarak 392 kilometer dari rumah keluarganya di Salak Tinggi, Sepang, ke rumah sewanya di Permatang Damar Laut, Batu Maung, Pulau Pinang.

"Awal Ramadan lalu, saya dan anak kedua, Rafique, yang menetap bersama saya di Pulau Pinang, menaiki motosikal ke Sepang untuk menyambut Ramadan bersama dua lagi anak bersama ibu bapa saya di sana (Sepang) selepas bercerai dua tahun lalu.

"Selepas beberapa hari di Sepang, dua lagi anak tiba-tiba merengek mahu ikut kami pulang ke Pulau Pinang. Ketika itu dalam poket saya cuma ada RM50," katanya.

Menurutnya, dalam keadaan terdesak, dia akhirnya nekad membawa bersama dua anaknya itu dan menyerahkan segalanya-galanya kepada kuasa Allah SWT untuk melindungi perjalanannya empat beranak.

"Kami bertolak selepas sahur dan sepanjang perjalanan, kira-kira 10 kenderaan berhenti melahirkan simpati termasuk ada yang menawarkan untuk menumpangkan tiga anak saya itu.

“Namun, saya menolaknya dengan baik dengan mengatakan ini semua adalah ujian Allah SWT buat saya.

"Mereka akhirya memberikan duit raya kepada saya dan anak-anak. Alhamdulillah perjalanan kami dipelihara Allah SWT dan kami selamat tiba di Pulau Pinan, kira-kira 10 malam," katanya.

Menurutnya, dia tahu ramai begitu bersimpati sehinggakan ada yang bercadang kumpul duit untuk membeli kereta buat dia sekeluarga.

"Saya bukan tolak rezeki. Tapi, tak perlulah bersusah payah sampai begitu. Bukan niat saya untuk meraih simpati orang ramai dengan cara menunjukkan kesusahan hidup kami empat beranak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:36 PM