HAZUMI (kanan) sempat bertembung Ahmad Reza dalam perjalanan menghala ke ibu kota. FOTO ihsan Hazumi Kamaruddin
HAZUMI (kanan) sempat bertembung Ahmad Reza dalam perjalanan menghala ke ibu kota. FOTO ihsan Hazumi Kamaruddin
Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: "Sayu hati saya melihat keadaan mereka. Apatah lagi, melihat tiga anaknya yang terpaksa berhimpit menaiki motosikal.

"Saya nekad menahannya tidak jauh dari Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Hulu Bernam untuk menghulur sedikit bantuan dan menumpangkan anaknya menaiki kereta saya," kata Hazumi Kamaruddin, 32.

Hazumi adalah antara beberapa individu yang kebetulan bertembung dengan Ahmad Reza Samsuddin, 38, yang gambarnya bermotosikal bersama tiga anak lelakinya berusia antara lima dan tiga tahun menjadi viral di media sosial, sejak kira-kira dua minggu lalu.

Hazumi berkata, ketika ditemui empat sekeluarga itu dalam perjalanan menghala ke ibu negara dan kesempatan itu diambil untuk memberi bantuan bagi meringankan bebannya.

"Kebetulan pada 22 Julai lalu, saya juga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas pulang dari Perlis dan tidak menyangka terserempak dengan mereka.

"Tapi, sejak gambar keluarga itu viral, saya juga berjanji sekiranya terserempak dengan mereka, saya akan membantu sedaya upaya dan Alhamdulillah doa saya dimakbulkan Allah," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Reza enggan menerima sebarang bantuan kewangan yang mahu diberikan dengan alasan tidak mahu menyusahkan orang lain.

"Saya memberitahunya wang itu sebagai duit raya dan saya ikhlas untuk membantu. Tapi, dia tetap juga menolak. Begitu juga pelawaan saya untuk menumpangkan anaknya.

"Kami sempat bertukar nombor telefon. Selepas pertemuan itu, saya juga ada menghubunginya untuk bertanya khabar. Saya tetap bercadang memberikannya bantuan dalam masa terdekat," katanya.

Gambar Ahmad Reza bersama tiga anaknya, Rafael Haikal, 8, Rafique Danial, 5, dan Danish Bunyameen, 3, yang menaiki Honda EX5 menjadi viral, awal Ramadan lalu, ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Sepang ke Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 10:35 PM