PASANGAN  kembar, Muhammad Azizi (kiri) dan Muhammad Alimi  menunjukkan dokumen rawatan sakit jantung mereka sambil diperhatikan Siti Zawiyah  dan Aliff di rumah mereka di Kampung Nyiur Chabang, Langkawi, semalam.
PASANGAN kembar, Muhammad Azizi (kiri) dan Muhammad Alimi menunjukkan dokumen rawatan sakit jantung mereka sambil diperhatikan Siti Zawiyah dan Aliff di rumah mereka di Kampung Nyiur Chabang, Langkawi, semalam.

Langkawi: Sepasang kembar lelaki, Muhammad Alimi dan Muhammad Azizi Aliff berusia sembilan tahun yang menghidap penyakit jantung memerlukan sejumlah RM100,000 bagi membolehkan mereka menjalani rawatan pembedahan di sebuah hospital swasta.

Ibunya, Siti Zawiyah Din, 36, berkata, kedua-dua anaknya disahkan menghidap penyakit itu sejak dilahirkan dan menurut doktor, ia akan bertambah teruk jika tidak dibedah segera.

“Kedua-duanya dikesan menghidap penyakit jantung selepas dilahirkan apabila sering selesema, batuk, demam dan alahan kepada cuaca sejuk selain kelopak mata, kuku serta bibir kelihatan biru.

“Kos sebenar pembedahan membaiki saluran darah ke jantung dua anak saya di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang belum diketahui, tetapi dimaklumkan pihak hospital memerlukan sekitar RM50,000 setiap seorang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nyiur Chabang, di sini, semalam.

Siti Zawiyah berkata, dia dan suami, Aliff Rosli, 38, tidak mempunyai wang sebanyak itu menyebabkan mereka buntu memikirkan nasib anak.

Sehubungan itu, dia yang juga seorang penjual kuih manakala Aliff bekerja di sebuah hotel, di sini, merayu orang ramai membantu menghulurkan bantuan bagi membolehkan kedua-dua anak mereka dibedah.

“Saya hanya menjual kuih dengan pendapatan tidak menentu manakala gaji suami kira-kira RM900 sebulan hanya cukup untuk belanja harian kami enam beranak serta membeli ubat-ubatan untuk merawat jantung mereka.

“Selain Muhammad Alimi dan Muhammad Azizi yang belajar dalam tahun tiga di Sekolah Kebangsaan Nyiur Chabang, kami turut mempunyai dua lagi anak berusia 14 dan 15 tahun di sekolah menengah,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, sehingga kini dua anak kembarnya sudah menerima rawatan di Hospital Langkawi selain dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Besar Pulau Pinang.

“Semua doktor yang pernah merawat anak saya mencadangkan supaya pembedahan dilakukan segera di sebuah hospital swasta, tetapi kami tidak dapat melakukannya dalam tempoh terdekat kerana tiada wang.

“Gaji saya hanya cukup untuk belanja harian, terasa amat jauh untuk kumpul RM100,000 bagi membolehkan pembedahan itu dilakukan segera dan setakat ini kami hanya mampu berserah kepada Allah,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Zawiyah di talian 019-4625466.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 8:25 AM