SHUK turut menjual saiz kurta untuk golongan bertubuh besar.
SHUK turut menjual saiz kurta untuk golongan bertubuh besar.
Norhayati Nordin


LAPAN tahun membina nama sebagai pelawak, 2019 nyata melakar kenangan paling indah buat Shuk Sahar

Kejayaan dinobatkan juara program Bintang Bersama Bintang (BBB) 2019 adalah kemenangan pertama pernah diraihnya.

Kini, anak jati Pulau Pinang yang menjadi penyampai radio Hot FM dan aktif dalam pengacaraan itu tidak henti melafazkan rasa syukur.

Menurut Shuk, segala usaha dan penat lelahnya untuk memahat nama dalam karier seni nampaknya sudah membuahkan hasil.

“Saya tidak pernah menduga akan berada di tahap sekarang kerana sepanjang pembabitan, ia berpaksikan minat sepenuhnya.

“Alhamdulillah dengan rezeki diberikan Allah SWT dan saya akan terus berusaha selagi masih dapat peluang,” katanya.

Shuk yang popular dengan sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKKK) musim keempat berkata, dia juga tidak boleh berasa sudah selesa.

Ujarnya, dia melihat perjalanan karier seninya masih jauh dan banyak perlu dilakukan untuk memantapkannya.

Berbicara mengenai aktiviti Ramadan, Shuk atau nama sebenar Mohammad Shukri Mohamed Sahar memberitahu, dia menceburi perniagaan.

Ujarnya semangat mahu mencuba hadir apabila melihat ramai rakan selebriti lain aktif berniaga sepanjang Ramadan.

“Apatah lagi saya dapat peluang apabila seorang rakan mengajar saya bekerjasama berniaga kurta batik. Melihatkan material kain diguna berbeza daripada rekaan kurta sedia ada, saya berminat dan hasil produknya juga berkualiti,” ujarnya.

SYUK bersama rakan menunjukkan kurta batik yang menggunakan material berbeza.
SYUK bersama rakan menunjukkan kurta batik yang menggunakan material berbeza.

Menurut Shuk lagi, saiz kurta untuk golongan bertubuh besar juga disediakan dengan harga berpatutan yang mampu milik.

Berkongsi sambutan Aidilfitri, Shuk berkata, dia bersama keluarga akan pulang beraya di Pulau Pinang.

Jelasnya, keadaan isteri yang sarat hamil ketika ini tidak membolehkan mereka menyambut lebaran bersama keluarga mentua di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:30 AM