DUNGUN: Operasi mencari dan menyelamat dua pemancing yang hilang selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka karam di perairan Dungun petang semalam diperluaskan sehingga ke perairan Marang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, kawasan pencarian juga diperluaskan sehingga dua batu nautika dari kawasan pantai.

Katanya, sektor pencarian juga dipecahkan kepada dua lokasi melibatkan perairan Dungun, Marang sehingga ke Pulau Kapas kerana bimbang mangsa dihanyutkan arus.

"Bagi operasi hari ini 25 anggota dari balai Dungun dan Marang telah digerakkan dan kita menumpukan kepada beberapa kawasan seperti Tanjung Jara, Rantau Abang dan sekitar Marang.

"Menerusi maklumat terakhir yang diperolehi mangsa memaklum kepada ahli keluarga mereka berada di perairan Marang dan kita menumpukan pada kawasan sekitar," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang semalam bot yang dinaiki dua sahabat itu dipercayai sedang memasuki muara Kuala Dungun sebelum ia karam dipukul ombak.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohd Sabrie Kamaruddin, 22, berasal dari Dungun dan rakannya, Mohammad Syahril Asmadi Yusoff, 22, berasal dari Kuala Lumpur.

Kedua-dua mangsa dikatakan sempat berpaut pada tong plastik, namun dihanyutkan arus.

Khairul Ariffin berkata, lima bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat telah digerakkan dalam operasi pencarian itu dengan dibantu beberapa agensi lain termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Beliau berkata, selain pencarian di laut operasi menyelamat juga ditumpukan pada kawasan pesisir pantai kerana dikhuatiri mangsa terdampar di tepi pantai. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 8:50 PM