DR MOHAMED Ibrahim melawat pesakit yang menggunakan mesin ECP.
DR MOHAMED Ibrahim melawat pesakit yang menggunakan mesin ECP.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Ahmad, 45, sering mengalami sakit dada dan kerap berlaku apabila dia banyak bergerak dan melakukan kerja berat. Apabila dia duduk dan berehat rasa sakit ini hilang seketika. Ahmad mengakui dadanya terasa seperti ditekan-tekan dan adakala pernafasan menjadi pendek. Semakin lama rasa sakit ini merebak sehingga ke bahagian leher, bahu dan lengan terutama bahagian tangan kiri.

Bagi Ahmad, hanya yang merasainya saja tahu bagaimana perasaan mereka mendapat serangan ini. Ia seakan-akan seperti rasa terbakar pada bahu, bebanan berat pada dada, kejang, tidak selesa dan sukar bernafas.

Bagi mereka yang pernah merasai tanda ini juga disebut sebagai angina atau angina pektoris manakala bahasa mudahnya berkaitan dengan sakit jantung. Angina berlaku kerana penyempitan arteri yang menyalurkan darah ke otot jantung. Ia terjadi apabila otot jantung tidak mendapat darah yang cukup. Biasanya angina menyebab­kan seseorang itu berasa seperti dadanya ditekan atau dipicit. Rasa sakit itu mungkin boleh terjadi pada bahu, lengan, tengkuk, rahang dan bahagian belakang.

Angina bukan masalah kecil kerana ia simptom koronori arteri (CAD), iaitu salah satu masalah sakit jantung. CAD terjadi apabila plak terbina pada bahagian koronari arteri. Ia berpunca daripada pemakanan serta gaya hidup tidak sihat. Plak yang terbina ini dinamakan atherosclerosis yang menyebabkan koronori arteri menjadi sempit dan kaku. Aliran darah ke jantung merosot seperti mana berlakunya penurunan bekalan oksigen ke otot jantung.

Keadaan ini berpunca daripada tekanan darah yang menyebabkan keperluan oksigen pada tubuh meningkat. Kolesterol yang tinggi juga menyebabkan pembuluh darah tersumbat lalu melambat­kan pengaliran darah ke bahagian jantung.

Masalah berkaitan jantung biasanya membuatkan seseorang itu perlu berada di hospital untuk mendapatkan rawatan seperti angiogram, angioplasty dan stent serta pembedahan pintasan jantung. Namun, semua rawatan ini mendatangkan kesan kepada pesakit sehinggakan ramai yang tidak mahu melakukannya. Kini terdapat rawatan alternatif baru iaitu kaedah rawatan menggunakan mesin External Counter Pulsation(ECP) iaitu teknik non-invasif yang berfungsi memperbaiki jantung dengan menurunkan kadar tekanan pada jantung.

Pada peringkat global, ECP sebenarnya sudah lama diperkenalkan dalam dunia perubatan tanpa perlu menjalani pembedahan pintasan jantung. Di Malaysia rawatan ini diperkenalkan Perunding Perubatan Dr Mohamed Ebrahim Sulaiman yang membawa mesin ECP ke Malaysia. Lebih penting penggunaannya diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) pada 1997.

Menurut Dr Ebrahim, rawatan ECP menggunakan mesin khas dengan tiga balutan dibuat pada betis, pergelangan tangan dan bawah pinggang. Menerusinya mesin ini memantau aktiviti jantung dan setiap balutan bertindak balas dengan memberikan isyarat.

“Apabila jantung berehat antara denyut nadi (diastole), tiga balutan itu mengembung. Ini membantu perjalanan darah ke jantung. Di Malaysia, rawatan ini hanya digunakan di beberapa hospital saja termasuk hospital kerajaan. Ia belum meluas, mungkin disebabkan masyarakat tidak tahu kelebihannya atau kos rawatan yang dianggap tinggi,” katanya.

Bagaimana ECP bertindak

Mesin ECP bertindak meningkatkan aliran darah ke jantung dan koronori arteri dengan menekan darah keluar daripada bahagian bawah badan ke jantung. Sesetengah orang merujuknya sebagai rawatan pintasan jantung semula jadi (natural bypass) apabila, ECP menstimulasi pertumbuhan saluran darah baru di keliling arteri yang tersekat. Setiap gelombang tekanan mempengaruhi denyutan nadi sekali gus meningkatkan aliran darah yang sampai ke jantung.

Kelebihan ECP menangani masalah angina terbukti dalam satu kajian membabitkan pesakit angina kronik pada 1995. Dalam kajian itu, ECP didapati mengurangkan masalah angina dan keputusan yang sama dilihat pada pesakit lain. Keputusan kajian itu diterbitkan dalam Jurnal of American College of Cardiology pada Jun 1999, malah ECP dan rawatan lanjutan terkini didapati berkesan sehingga 80 ke 90 peratus dan boleh bertahan selama tiga hingga lima tahun tanpa kesan sampingan yang serius.

“ECP sesuai untuk mereka yang tidak mahu menjalani pembedahan jantung. Mereka boleh mencuba dan melihat kesannya selepas itu baru memikirkan sama ada melakukan pembedahan atau tidak,” katanya.

Selain itu ECP turut berfungsi mengurangkan simptom angina, mengurangkan keperluan pengambilan ubat disebabkan angina, mengurangkan kekerapan dan kesakitan pada dada serta prosedur yang dilakukan juga membantu keupayaan pesakit melakukan senaman. Ia memberikan terapi mengedarkan darah yang dioksigenkan ke dalam arteri koronari bagi menggalakkan pengembangan saluran dalam otot jantung.

“Mesin ini boleh menjadi antara rawatan alternatif yang baik untuk pesakit di negara ini memandangkan ramai rakyat di sini menghidap penyakit jantung. Rawatan menggunakan mesin ini memerlukan kos tinggi iaitu RM600 setiap kali rawatan dan ia perlu dibuat 35 kali bagi setiap pesakit,” katanya.

Bagaimana ECP membantu pesakit?

1) Tekanan pada betis meningkatkan aliran darah ke koronori arteri. Koronori arteri menerima darah daripada jantung selepas setiap denyut nadi, pengembungan pada bahagian betis membantu lebih banyak aliran darah ke jantung.

2) Apabila jantung mula berdegup, ECP mengempiskan betis dan menghasilkan satu aksi seakan vakum pada arteri. Keadaan ini mengurangkan kerja otot jantung dalam mengepam darah ke arteri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 9:50 AM