SEMAKIN ramai golongan muda mengalami serangan jantung.
SEMAKIN ramai golongan muda mengalami serangan jantung.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SERANGAN jantung dalam kalangan golongan muda kian meningkat.

Hakikatnya, ia bukan lagi penyakit yang dikaitkan dengan warga emas.

Lebih membimbangkan, fakta menunjukkan individu yang mengalami serangan jantung pada usia 20-an atau awal 30-an meningkat dengan seorang daripada lima pesakit serangan jantung berumur bawah 40 tahun.

Malah, kajian mengenai penyakit arteri koronari dalam kalangan belia Malaysia mendapati, hampir 70 peratus peserta berumur 15 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kardiovaskular.

Stigma mengaitkan serangan jantung dengan golongan berusia sudah lapuk.

Oleh itu, golongan muda perlu mengambil tindakan segera untuk menangani isu ini.

Pakar Perunding Kardiologi Hospital Aurelius Nilai Dr Nabil Idris berkata, penyakit jantung tiada diskriminasi umur. Ia boleh menyerang sesiapa sahaja, baik golongan muda mahupun yang tua.

"Tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi adalah faktor penyumbang utama kepada penyakit jantung. Didapati semakin ramai golongan muda mempunyai risiko ini.

"Walaupun dalam usia 20-an, penting untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan faktor risiko ini," katanya.

Dr Nabil berkata, terdapat beberapa salah tanggapan mengenai faktor risiko penyakit jantung dalam kalangan golongan muda.

"Pertama ialah individu berasa masih muda dan boleh makan apa sahaja tanpa mengira masa, termasuk gemar makan lewat malam di restoran mamak.

"Perlu berfikir terlebih dahulu sebelum memesan makanan. Ini kerana, diet tidak sihat dan tinggi lemak akan menyebabkan pengumpulan plak di arteri. Sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung," katanya.

Dr Nabil berkata, salah tanggapan kedua ialah mereka tidak perlu mengawal rokok dan alkohol kerana masih muda.

"Amalan merokok adalah faktor risiko utama kegagalan jantung kongestif kerana ia mampu menyebabkan aterosklerosis dan meningkatkan tekanan darah.

"Alkohol yang diambil secara berlebihan selama beberapa tahun dapat menghasilkan kardiomiopati alkohol.

"Ia satu keadaan yang mana alkohol bertindak sebagai toksin untuk melemahkan otot jantung secara langsung," katanya.

Menurutnya, salah tanggapan seterusnya ialah muda boleh menangani tekanan dengan baik dan ia bukanlah masalah besar.

"Tekanan yang berterusan akan meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung dan peredaran darah.

"Kajian mendapati, apabila berasa tertekan, bahagian otak yang menangani tekanan (amigdala) akan memberi isyarat kepada sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah putih berlebihan.

"Ini menyebabkan keradangan arteri yang boleh mencetuskan serangan jantung, angina dan angin ahmar," katanya.

Kata Dr Nabil, salah tanggapan keempat adalah tekanan darah tinggi, kencing manis dan tinggi kolesterol hanya dialami golongan berusia.

Jelasnya, semua ini adalah faktor risiko klasik bagi penyakit jantung. Namun, golongan muda mungkin tidak sedar mereka mempunyai penyakit itu, melainkan menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh.

"Tiada salahnya menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengenal pasti sebarang gejala awal.

"Meskipun sesetengah faktor risiko penyakit jantung tidak dapat dikawal. Misalnya, umur atau sejarah keluarga. Oleh itu, individu boleh mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko melalui cara mengubah faktor yang boleh dikawal," katanya.

Dr Nabil berkata, perubahan kecil dalam gaya hidup seperti bersenam dan membuat pilihan pemakanan sihat boleh mendatangkan perubahan besar kepada kesihatan jantung.

Katanya lagi, lakukan pemeriksaan jantung dan mengenal pasti faktor risiko lebih awal. Di samping itu, ambil tindakan proaktif bagi melindungi serta menguatkan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 6:30 AM