Siti Zarinah Sahib

Ramai beranggapan amputasi atau pemotongan kaki hanya dihadapi pesakit diabetes tetapi sebenarnya ia boleh berlaku pada sesiapa saja. Ia berpunca daripada penyumbatan salur darah pada kaki dikenali sebagai penyakit arteri periferal (PAD).

Keadaan ini sama seperti penyumbatan salur darah ke jantung atau otak yang mengakibatkan serangan jantung atau strok. Apa yang membezakannya ia berlaku pada kaki yang menyebabkan ia menjadi kejang, sakit dan berasa dingin. Lama-kelamaan jika tidak dirawat kulit menjadi hitam dan gelap menandakan kematian sel sehingga terpaksa dipotong.

Mengikut statistik di Malaysia, lebih 10,000 pesakit terpaksa menjalani amputasi dan 40 peratus daripada kes ini boleh dielakkan sekiranya mendapat rawatan awal.

Menjelaskan perkara ini, menurut Pakar Perunding Kardiologi Hospital Thomson Dr Haizal Haron Kamar, pemotongan kaki tidak boleh dipandang ringan atau dianggap perkara biasa kerana ia menyebabkan risiko serangan jantung meningkat empat kali ganda berbanding mereka yang tidak mengalaminya manakala risiko mendapat strok juga melonjak tiga kali ganda.

“Sebab itu saya sering menasihatkan individu yang mempunyai tanda awal supaya mendapat rawatan agar rawatan pencegahan dapat dilakukan. Ini kerana apabila amputasi, kebanyakan mereka yang meninggal dunia bukan disebabkan pemotongan kaki sebaliknya serangan jantung,” ujarnya.

DR HAIZAL menunjukkan salur darah tersumbat pada kaki.
DR HAIZAL menunjukkan salur darah tersumbat pada kaki.

Gejala PAD

Apa yang menyebabkan penyakit ini agak rumit ialah dalam sebahagian besar kes, PAD tidak menunjukkan sebarang gejala. Hanya 10 hingga 15 peratus pesakit mengalami gejala tertentu.

Gejala peringkat awal ialah:

• Pesakit akan mengalami kekejangan pada betis dan rasa sakit ketika berjalan jauh. Rasa sakit akan hilang apabila pesakit berehat. Gejala ini boleh berlarutan selama beberapa hari, minggu atau bulan.

• Pesakit mengalami rasa sakit, lenguh dan sengal pada pinggul disebabkan otot pada betis dan pinggul tidak mendapat bekalan darah mencukupi kerana saluran darah yang sempit.

Ketika berjalan, otot memerlukan oksigen dan makanan. Apabila saluran darah arteri menjadi sempit, otot tidak mendapat bekalan oksigen dan makanan mencukupi. Ini menyebabkan otot menjadi sengal dan sakit.

INDIVIDU akan mengalami kekejangan pada betis.
INDIVIDU akan mengalami kekejangan pada betis.

Gejala peringkat lewat:

• Kaki mengalami gangren. Apabila saluran darah menjadi bertambah sempit, otot dan bahagian kulit tidak menerima oksigen dan makanan yang mencukupi untuk proses baik pulih selepas luka. Ini menyebabkan luka pada kaki menjadi ulser dan sukar sembuh, lama-kelamaan kaki mengalami gangren.

Kaki gangren ialah keadaan apabila otot pada kaki mati akibat kehilangan, kemerosotan atau terhentinya bekalan darah. Biasanya ia lebih sinonim untuk pesakit diabetes. Namun ia boleh berlaku kepada sesiapa saja yang menandakan pengaliran pada pembuluh darah arteri sedang bermasalah.

SALUR darah tersumbat yang menyebabkan PAD.
SALUR darah tersumbat yang menyebabkan PAD.

Faktor risiko

Faktor risiko PAD sama seperti serangan jantung iaitu disebabkan aterosklerosis yang menyebabkan dinding saluran darah menebal dan kurang elastik. Ia tidak hanya berlaku pada saluran darah kaki dan tangan, malah saluran darah jantung, otak dan buah pinggang.

Bahagian yang tebal dengan pemendakan lemak ini dikenali sebagai plak. Jika pemendakan terlalu tebal atau pecah, serpihan ini boleh menyumbat dan menjejaskan kelancaran darah dalam saluran arteri. Kesannya, bahagian tubuh yang tidak dapat menerima oksigen ini akan mula rosak dan mati.

PAD banyak berlaku kepada:

• Pesakit diabetes

• Perokok tegar

• Pesakit darah tinggi

• Kadar kolesterol yang tinggi

• Tidak bersenam

• Faktor keturunan

Rawatan

Bagi mengetahui sama ada seseorang itu mengalami PAD atau sebaliknya pakar perubatan akan membuat pemeriksaan denyutan nadi pada bahagian kaki. Ia sama seperti pemeriksaan nadi pada femoral (paha), popliteal (otot pada belakang sendi lutut) dan buku lali. Apabila salah satu daripada nadi lemah atau hilang, ini menandakan pesakit menghadapi masalah PAD.

Menurut Dr Haizal, ubat-ubatan seperti ubat cair darah dan pengawal paras kolesterol akan diberikan kepada pesakit bagi mengurangkan tekanan darah dan melancarkan kembali peredaran darah. Namun jika ia tidak berkesan angiogram dan angiografi magnetik resonans (MRA) akan dilakukan.

“Selepas melakukan diagnosis PAD, doktor akan membuat pemeriksaan angiogram dan MRA untuk memastikan bahagian saluran darah yang sempit atau tersumbat sebelum memutuskan rawatan sesuai. Ia bergantung kepada keadaan pesakit dan salur darah terbabit,” katanya.

Terdapat dua rawatan yang biasa dilakukan iaitu:

1. Pembedahan pintasan

Penggunaan kaedah ini lebih sesuai bagi sebahagian besar penyempitan atau penyumbatan saluran darah. Ini kerana kadar kejayaannya juga adalah lebih baik berbanding angioplasti, terutama sekali pada bahagian saluran darah pada paras lutut dan ke bawah. Bagaimanapun, kaedah ini lebih berisiko tinggi berbanding angioplasti.

2 . Rawatan angioplasti

Kaedah ini hanya sesuai untuk saluran darah yang besar iaitu saluran darah pada pangkal paha. Malah, penggunaannya juga tidak sesuai jika terdapat banyak arteri yang tersumbat atau sempit atau jika penyumbatan itu terlalu panjang.

Angioplasti adalah kaedah menggunakan kateter dengan belon pada hujungnya. Ia kemudian dimasukkan ke bahagian saluran darah yang sempit dan belon terbabit akan dikembangkan pada bahagian itu. Selepas melakukan rawatan ini pesakit akan merasai kesan panas menandakan darah mengalir lancar pada kaki mereka.

3. Rawatan akut

Dalam keadaan PAD akut (secara tiba-tiba), pesakit dinasihatkan menjalani rawatan serta-merta. Ia membabitkan salah satu daripada dua kaedah iaitu trombolisis atau pembedahan pintasan.

Melalui rawatan trombolisis, satu prosedur akan dilakukan dengan menghancurkan darah beku yang terdapat dalam arteri. Selepas penilaian dilakukan, pesakit mungkin memerlukan rawatan sama ada angioplasti atau pembedahan pintasan.

PEMERIKSAAN kaki dilakukan sebelum rawatan diberikan.
PEMERIKSAAN kaki dilakukan sebelum rawatan diberikan.

Selain rawatan adalah sangat penting untuk kita mengetahui tanda PAD dan melakukan pencegahan awal. Sama seperti serangan jantung yang berpunca daripada kolesterol, kita perlu memilih makanan sihat bagi merendahkan paras kolesterol. Bagi yang merokok, berhenti atau kurangkan jumlah pengambilannya. Jika tidak mampu dapatkan khidmat nasihat kaunseling.

“Pada peringkat permulaan, apabila pesakit menghadapi masalah kekejangan pada betis dan kaki ketika berjalan, dia dinasihatkan mengambil pil antiplatelet dan melakukan senaman seperti berjalan pada waktu pagi dan petang.

“Untuk pesakit diabetes periksa kaki setiap hari untuk mengesan kehadiran luka. Ini kerana deria rasa pada kaki pesakit diabetes adalah rendah. Jadi, pakailah selipar sama ada di luar mahu pun di dalam rumah untuk mengelak terpijak benda tajam,” nasihatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 3:11 PM