DR Wan Azman menunjukkan pembuluh darah yang tersumbat akibat plak.
DR Wan Azman menunjukkan pembuluh darah yang tersumbat akibat plak.
PENGGUNAAN PCI dalam rawatan jantung akibat penyempitan pembuluh darah.
PENGGUNAAN PCI dalam rawatan jantung akibat penyempitan pembuluh darah.
Oleh Zaitie Satibi


Kebelakangan ini, ramai yang mengambil mudah keadaan jantung mereka sehingga diserang penyakit kardiovaskular (CVD) iaitu penyakit berkaitan jantung dan pembuluh darah yang berlaku pada usia pramatang (sebelum 70 tahun).

Malah, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 yang dijalankan Kementerian Kesihatan setiap lima tahun sekali itu melaporkan, CVD adalah pembunuh nombor satu yang menyumbang kepada 25.4 peratus kadar kematian di hospital Malaysia pada 2010.

CVD seperti penyakit arteri koronari, strok, tekanan darah tinggi, jantung terhenti, kegagalan jantung kongestif, degupan jantung tidak sekata (aritmia), penyakit arteri periferal dan penyakit jantung kongenital.

Namun, CVD yang paling biasa dialami adalah penyakit arteri koronari disebabkan kerosakan atau kecederaan pada lapisan dinding arteri koronari atau pembuluh darah jantung sehingga berlaku pembentukan plak. Proses pengumpulan bahan terbabit pada dinding pembuluh darah jantung dikenali sebagai atherosclerosis.

Pembuluh darah jantung terletak di permukaan jantung dengan setiap orang mempunyai tiga pembuluh darah utama. Banyak faktor menyumbang kepada kerosakan atau kecederaan pada lapisan dinding pembuluh darah jantung seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol, merokok dan mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif (sedentari).

Sel darah kemudian cuba membaiki kerosakan atau kecederaan pada dinding pembuluh darah dan kumpulan sel darah ini menjejaskan aliran darah yang membekalkan oksigen serta nutrien kepada jantung.

Ini kerana, sebagai tindak balas pemulihan sel darah berkenaan membebaskan bahan kimia yang menyebabkan dinding pembuluh darah melekit dan keadaan ini mengakibatkan protein, sel mati dan kalsium yang diangkut dalam pembuluh darah melekat. Pengumpulan bahan terbabit membentuk plak yang sentiasa bertambah dan menyempitkan pembuluh darah.

Akibatnya, jantung kekurangan bekalan oksigen dan nutrien penting untuk mengepam darah dengan betul lalu meningkatkan risiko serangan jantung. Penyempitan pembuluh darah jantung boleh mengakibatkan seseorang mengalami sakit dada, sesak nafas, muntah-muntah, loya, berpeluh, degupan jantung kencang, manakala pembuluh darah yang tersumbat menyebabkan serangan jantung. Kumpulan gejala disebabkan penyakit arteri koronari ini dinamakan sindrom koronari akut (ACS).

Ketua Bahagian Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad berkata, pesakit ACS di Malaysia lebih muda jika dibandingkan dengan negara Barat khususnya dalam kalangan kumpulan kecil serangan jantung serius atau ST elevation myocardial infarction (STEMI), manakala kaum Melayu dan India lebih ramai mengalami ACS pada usia muda.

Menurutnya, laporan Penyakit Kardiovaskular -Sindrom Koronari Akut Kebangsaan 2011-2013 menunjukkan purata pesakit ACS di negara ini berusia 58 tahun dengan kadar 31.4 peratus, pesakit dengan usia 60 hingga 70 tahun sebanyak 25.4 peratus, pesakit dengan usia antara 70 hingga 80 tahun sebanyak 15.4 peratus, manakala pesakit ACS berusia bawah 50 tahun adalah 24.2 peratus.

“Rakyat yang menghidap penyakit kardiovaskular adalah tidak sihat, oleh itu akan menjadi kurang produktif. Ini bukan sahaja membebankan negara malah memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Tambahan pula, kos rawatan penyakit terbabit dan impaknya kepada keluarga masing-masing adalah tinggi.

“Mereka berusia 50 tahun tetapi ada penyakit jantung iaitu 10 tahun lagi dari tempoh untuk bersara. Sepanjang tempoh sebelum bersara, tahap kecergasan tidak sama menyebabkan tidak boleh melakukan kerja lebih masa dan hanya melakukan kerja ringan.

“Dalam tempoh berkenaan juga pesakit jantung terpaksa mengambil banyak cuti sakit dan lebih buruk terpaksa bersara awal atas sebab kesihatan. Agak merugikan juga apabila pada usia 50 tahun biasanya pekerja dinaikkan pangkat sekali gus menaik taraf ekonomi keluaga, tetapi mungkin terlepas peluang jika kerap cuti sakit atau bersara awal,” katanya.

Kebanyakan pesakit jantung di Malaysia mempunyai kadar prevalen faktor risiko CVD yang tinggi apabila pada masa sama mereka turut menghidap satu atau lebih sama ada tekanan darah ting­gi, diabetes, kolesterol atau obesiti akibat mengamalkan gaya hidup sedentari.

Sebanyak 65 peratus pesakit jantung menghidap tekanan darah tinggi, 46 peratus menghidap diabetes, kolesterol pula 37 peratus, manakala 44 peratus mempunyai lebih tiga faktor risiko.

Berdasarkan laporan berkenaan juga pesakit jantung dengan faktor risiko tiga serangkai terbabit kekal paling tinggi dalam tempoh tiga tahun. Malah, pesakit jantung yang sudah mendapatkan rawatan juga tidak terlepas berdepan faktor risiko terbabit.

Sebanyak 73.5 peratus pesakit jantung dirawat menghidap tekanan darah tinggi, 72.6 peratus menghadapi masalah kolesterol dan 46 peratus menghidap diabetes, manakala 72.6 peratus menghidap lebih tiga faktor risiko terbabit.

“Kadar kematian di hospital akibat serangan jantung serius juga tinggi apabila mencatat 10.6 peratus, manakala kematian akibat serangan jantung ringan atau non-ST segment elevation myocardial infarction (NSTEMI) pula mencatat 7.6 peratus, manakala kematian akibat angina tidak stabil (UA) mencatat 1.2 peratus.

“Kadar kematian selepas 30 hari mendapat rawatan pula mencatat 11.8 peratus bagi STEMI, 9.2 peratus bagi NSTEMI dan 2.4 peratus bagi UA. Bagi mengurangkan risiko kematian di hospital, rawatan untuk pesakit jantung secara angioplasti iaitu intervensi koronari perkutaneus (PCI) dilakukan di bahagian kecemasan.

“Risiko kematian berlaku disebabkan tidak banyak hospital menawarkan perkhidmatan pakar kardiologi, kos dan pesakit yang datang lewat mendapatkan rawatan. Pesakit sepatutnya datang dalam tempoh 24 jam selepas mengalami gejala dan mendapatkan rawatan di hospital besar yang menyediakan kemudahan untuk angioplasti,” katanya.

Prof Dr Wan Azman berkata, kaedah PCI lebih popular dan efektif kerana tidak membabitkan pembedahan serta dilakukan untuk memulihkan aliran darah yang normal supaya membekalkan nutrien mencukupi dan mengelakkan kelemahan otot kardium.

PCI adalah rawatan pengembangan bagi pembuluh darah jantung yang menyempit atau tersumbat, ia akan disyorkan doktor apabila 70 peratus atau lebih pembuluh darah yang terjejas.

“Prosedur PCI dimulakan dengan kateter dimasukkan ke dalam badan pesakit melalui pergelangan tangan atau lipatan peha sebelum satu dawai halus dimasukkan ke bahagian pembuluh darah yang tersekat melalui kateter tadi. Hujung kateter itu ada belon yang akan dikembangkan untuk membesarkan saluran yang menyempit.

“Bagi mengelak penyempitan semula pembuluh darah, belon diganti dengan gelung keluli tahan karat (stent) yang disalut ubat dan ditinggalkan dalam pembuluh darah itu supaya sentiasa terbuka. Pembedahan pintas dijalankan terhadap pesakit yang mengalami pembuluh darah mengecil dengan serius atau PCI tidak boleh dilakukan atau komplikasi PCI,” katanya.

Beliau berkata, berpuasa adalah teknik paling berkesan untuk membalikkan CVD berikutan dengan berpuasa kita mengambil sejumlah makanan yang optimum sekali gus menawarkan keupayaan untuk memulihkan kerosakan dalam tubuh. Malah, berpuasa juga membolehkan tubuh membuang plak dalam pembuluh darah dan mencegah CVD pramatang.

“Ketika berpuasa, tubuh kita berehat dan melakukan proses detoksifikasi untuk menyingkirkan toksin yang biasanya dijalankan ketika tidur. Perubahan fisiologi puasa berlaku pada tiga hari pertama apabila tubuh akan menukar sumber bahan bakar tenaga kepada sumber lain. Biasanya, tubuh akan menggunakan sumber daripada gula yang diekstrak daripada makanan yang diambil.

“Hati akan menyimpan lebihan gula dikenali glycogen dan sumber ini akan digunakan sepenuhnya dalam tempoh 24 jam pertama berpuasa. Tubuh akan mula menukar kepada penggunaan asid lemak sebagai bahan bakar selepas gula digunakan. Selepas hari ketiga berpuasa kadar pecahan asid lemak daripada tisu adipos atau tisu lemak terus meningkat.

“Bagi pemuliharaan protein, tubuh juga akan mencari semua sumber dari bukan protein badan seperti tisu mati, ketumbuhan, bakteria, virus bahan buangan dalam darah, lemak terkumpul, kristal sekeliling sendi (gout) dan sebatian lain dalam tubuh yang boleh digunakan termasuk sel lemak dan kolesterol,” katanya.

Katanya, tubuh menggunakan tenaga ketika berpuasa bukan untuk menghadam makanan sebaliknya untuk menyelenggara tubuh daripada toksin yang terkumpul dan memulihkan tisu dan organ yang rosak. Teknik berpuasa terbukti secara saintifik bagi penyakit lain seperti diabetes, obesiti, epilepsi, radang usus, alahan dan mencegah kanser.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:00 AM