KESAKITAN dada ketika bangun tidur adalah gejala biasa penyakit kardiovaskular.
KESAKITAN dada ketika bangun tidur adalah gejala biasa penyakit kardiovaskular.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


SAKIT dada adalah gejala biasa penyakit kardiovaskular dan gangguan pernafasan yang teruk termasuk serangan jantung serta embolisme pulmonari (salur darah paru-paru tersumbat).

Bagaimanapun,

sakit dada juga boleh berlaku akibat daripada keadaan yang kurang serius seperti pedih ulu hati.

Namun, kesakitan dada dialami sebaik bangun tidur boleh mencetuskan kebimbangan kepada penghidapnya.

A. Punca berkaitan jantung

Rasa sakit di bahagian tengah atau sebelah kiri dada mungkin isyarat masalah jantung seperti penyakit arteri koronari, keradangan jantung atau serangan jantung.

Pesakit boleh menjelaskan kesakitan dada dialami seperti rasa berat atau sesak di dada atau bahagian atas belakang badan.

Jenis sakit dada yang berkaitan dengan jantung termasuk:

i. Angina:

Angina bukanlah penyakit, tetapi gejala kepada penyakit arteri koronari dan penyakit mikrovesikel koronari.

Ia merujuk kepada sakit dada atau ketidakselesaan yang berlaku apabila jantung tidak menerima bekalan darah mencukupi.

Angina menyebabkan rasa sesak, tekanan atau berat di dada. Gejala ini boleh merebak ke leher, rahang, lengan, bahu dan belakang badan.

ii. Keradangan jantung:

Keradangan jantung adalah tindak balas semula jadi sistem imun terhadap penyakit, kecederaan dan jangkitan.

Jenis keradangan jantung termasuk:

a. Perikarditis

Merujuk kepada keradangan perikardium iaitu membran yang mengelilingi jantung.

b. Miokarditis

Ini adalah keradangan pada otot jantung.

c. Endokarditis

Ini menyebabkan keradangan endokardium yang melapisi bahagian dalam jantung dan injap.

Gejala dialami setiap individu adalah berbeza, bergantung kepada jenis dan lokasi keradangan jantung.

Sesetengah

individu tidak mengalami sebarang gejala, ada pula mengalami gejala yang teruk seperti:

1. Sakit dada seperti dicucuk

2. Degupan jantung tidak normal

3.Kesukaran bernafas atau sesak nafas

4. Tanda jangkitan seperti demam atau menggigil

5. Batuk berterusan yang mungkin berserta darah

6.Sakit otot atau sendi

7. Bengkak kaki atau tapak kaki

iii. Serangan jantung

Serangan jantung juga dikenali sebagai infarksi miokardium. Ia terjadi apabila otot jantung cedera atau mati kerana tidak menerima bekalan darah mencukupi disebabkan arteri (yang berfungsi mengalirkan darah ke jantung secara normal) tersumbat atau pecah.

Gejala serangan jantung termasuk:

Sakit dada atau ketidakselesaan pada leher, lengan, belakang, bahu atau bahagian atas abdomen.

- Sesak nafas

- Berpeluh sejuk

- Keletihan secara tiba-tiba

- Loya

- Pening

Menurut 'American Heart Association', lelaki dan perempuan paling kerap mengalami gejala serangan jantung seperti sakit dada atau rasa ketidakselesaan pada dada.

Bagaimanapun, wanita lebih berkemungkinan mengalami beberapa gejala serangan jantung lain berbanding lelaki terutama sesak nafas, sakit di bahagian belakang badan atau rahang.

Sekiranya individu mengalami gejala serangan jantung, disarankan mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.

B. Punca berkaitan dengan pernafasan

Sakit dada adalah salah satu gejala paling biasa berkaitan dengan penyakit pernafasan.

Masalah pernafasan boleh menyebabkan sakit dada bertambah teruk dengan pergerakan atau perubahan dalam pernafasan.

Sakit dada berkaitan pernafasan boleh menjejaskan kedua-dua belah dada dan diafragma.

Punca kesakitan dada berkaitan dengan pernafasan termasuk:

i. Jangkitan

Jangkitan virus dan bakteria boleh menyebabkan keradangan pada saluran udara paru-paru dan kantung udara kecil yang dikenali sebagai alveoli.

Selain sakit dada, jangkitan paru-paru dan dada boleh menyebabkan:

1.Kesukaran bernafas

2.Sesak nafas

3.Batuk yang mengeluarkan lendir kekuningan, hijau atau berdarah

4.Demam

5.Menggigil

6.Keletihan

ii-Bronkospasma

Ia terjadi apabila otot saluran udara paru-paru mengecut, ketat dan menyempitkan saluran udara.

Ia boleh menyebabkan sakit atau sesak di dada, kesukaran bernafas dan keletihan secara tiba-tiba.

Ia adalah penyempitan bronkus disebabkan pengecutan otot dinding seperti dalam serangan asma.

iii-Hipertensi pulmonari

Tekanan darah tinggi yang menjejaskan arteri paru-paru.

Gejala hipertensi pulmonari termasuklah:

Sakit dada

Degupan jantung laju

Sesak nafas

Keletihan

Hilang selera makan

iv- Embolisme

pulmonari (salur darah paru-paru tersumbat)

Penyakit ini boleh mengancam nyawa pesakit. Ia terjadi apabila darah beku terbentuk pada arteri ke salah satu paru-paru.

Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan pada dada atau bahagian atas belakang badan.

Gejala lain termasuklah kesakitan, bengkak, kemerahan pada kaki, kesukaran bernafas atau batuk berdarah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 6:45 AM