ADA beberapa sebab tanpa kita sedar menjadi punca kita makan berlebihan.
ADA beberapa sebab tanpa kita sedar menjadi punca kita makan berlebihan.

SHUHADA MANSOR percaya kita pernah mengalami hari apabila ada perasaan seperti tidak ingin berhenti makan. Ada sebab daripada segi biologi dan psikologi yang mempengaruhi hal ini.

Bukan hanya sepanjang Ramadan iaitu selepas waktu berbuka membuatkan kita mengunyah apa saja makanan, tapi ia boleh dikatakan sepanjang masa. Jika anda khuatir nafsu makan meningkat sepanjang bulan puasa, baca artikel ini dan ketahui sebabnya.

Tidak hanya Ramadan, musim perayaan khususnya Aidilfitri juga membuatkan kita khuatir dengan selera makan. Pelbagai juadah disediakan di rumah terbuka membuatkan kita tidak menolak bahkan makan tanpa henti hingga akhirnya menyesal sendiri.

Jika anda memiliki selera biasa dan hanya sesekali mempunyai selera tinggi, mungkin antara beberapa faktor ini mempengaruhi cita rasa anda. Untuk minimumkan selera sama ada di penghujung Ramadan atau sepanjang Aidilfitri, Gen Y kongsi beberapa perkara perlu kita peka.

TAK CUKUP TIDUR

Letih seharian dengan kuliah dan rutin kerja ada kalanya membuatkan kita sukar tidur. Waktu tidur secukupnya iaitu tujuh hingga lapan jam sehari terpaksa ditolak tepi secara tidak langsung mengganggu kestabilan hormon tubuh.

Aturan hormon yang mengatur selera makan keesokan harinya terganggu sekali gus menghasilkan zat lain yang menyebabkan rasa lapar berbeza daripada hari biasa. Oleh itu, cuba atur perjalanan harian selengkapnya untuk mendapatkan kualiti tidur seperti disarankan.

KURANG AIR DALAM TUBUH

Mengutamakan cecair diperlukan badan adalah langkah terbaik untuk menjaga selera pada waktu sepatutnya. Jika tubuh tidak diisi dengan cecair iaitu minuman akan menyebabkan dehidrasi iaitu kekurangan air dalam tubuh.

Masalah timbul apabila kuantiti air dalam badan kurang menyebabkan kita berasa lapar. Apa yang terjadi adalah kita bukannya mengambil minuman apabila terasa lapar, tetapi memilih makanan. Keperluan tubuh sebaliknya memerlukan air berbanding makanan. Disebabkan itu, kita tidak berhenti mengunyah sehingga benar-benar puas.

EMOSI TAK STABIL DAN BOSAN

Ada segelintir orang menolak makanan jika sedih dan ada sebaliknya. Setiap daripada kita memiliki selera yang sukar untuk ditafsirkan dan ada daripadanya bergantung kepada emosi. Menjadi masalah sekiranya anda terlalu bergantung kepada makanan pada waktu sedih, tekanan atau perasaan lain yang bermain di fikiran.

Rasa bosan juga antara punca untuk kita mencari makanan. Sambil melepak di rumah menonton televisyen, kita pasti mencari sesuatu sebagai ‘kudap-kudapan’. Walaupun perut penuh diisi dengan makanan berat lain beberapa jam sebelumnya, ia bukan isu besar bagi kita. Pernahkah anda sedar mengenai hal ini dan apa yang anda lakukan mengenainya?

CUACA DAN ORANG SEKELILING

Mungkin tidak ada kajian terperinci yang menyokong kenyataan ini, tetapi beberapa artikel berkaitan ada menghubung kait hal ini. Kita impikan makanan panas ketika cuaca sejuk dan ini dibuktikan dengan cara pemakanan masyarakat luar negara yang memilih makanan lebih karbohidrat dan lemak pada musim sejuk.

Snek, makanan ringan boleh dikategorikan sebagai ‘musuh’ utama dalam isu ini. Sama ada di pejabat, kuliah atau tempat tertutup berhawa dingin meningkatkan keinginan kita untuk makan makanan ringan. Kawal rasa ini dengan menggantikannya dengan makanan sihat lain seperti kacang atau buah-buahan.

Waktu berkumpul beramai-ramai antara penyebab kita makan berlebihan. Tanpa sedar, kita memesan makanan ringan yang tinggi kandungan lemak. Tidak perlu fikirkan hal serius mengenai penjagaan makanan dan kandungan nutrisi waktu melepak, anda mungkin diperli rakan. Tetapi situasi seperti inilah antara sebab kita terlebih makan tanpa sedar.

PIRING KAJI NUTRISI DICIPTA

Perusahaan baru, Fitly terletak di Philadelphia, Amerika Syarikat melancarkan ‘Piring Pintar’ (SmartPlate) iaitu piring yang boleh memberitahu anda sekiranya makanan diambil berlebihan.

Dilengkapi dengan tiga kamera digital dan teknologi pengenalan bentuk makanan, ia mampu mengesan apa saja makanan yang ada di dalam piring itu dan data kalori dikirimkan melalui aplikasi iOS atau Android kepada anda.

Jaringan Wi-Fi dan Bluetooth perlu diaktifkan pada SmartPlate untuk membantu kita mengawal kuantiti dan kalori makanan. Walaupun sudah ada aplikasi lain yang juga boleh membaca kandungan ­kalori makanan, seperti MyFitnessPal, namun piring ini mengumpulkan data yang lebih terperinci. Ia difahamkan berada di pasaran pada musim panas 2016.

Kesimpulannya, kepintaran manusia dalam mencipta sesuatu untuk menjaga kesihatan tubuh tidak berhenti, tetapi ia bergantung kepada kita sendiri untuk memanfaatkannya. Sekali pun kita memiliki 10 piring pintar, tidak semestinya kita mampu mengawal nafsu makan yang tidak sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:02 AM