PEGAWAI dietetik, Nur Hafizah Mahamd Sobri.
PEGAWAI dietetik, Nur Hafizah Mahamd Sobri.
MAKAN disebabkan stres antara penyebab obesiti terutama dalam kalangan wanita. - GAMBAR hiasan.
MAKAN disebabkan stres antara penyebab obesiti terutama dalam kalangan wanita. - GAMBAR hiasan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

SAAT berdepan stres atau tekanan, ada antara kita yang mungkin mengalami keinginan membuak-buak untuk makan. Tanpa disedari, ia memicu kecenderungan kita untuk makan secara berlebihan malah lebih banyak daripada biasa.

Pernahkah anda rasa pada waktu biasa, seketul coklat mungkin sudah memadai untuk mengatasi desakan atau keinginan itu, tetapi semasa berasa tertekan, anda boleh menghabiskan satu papan coklat dan masih rasa tidak puas makan.

Stres sebenarnya adalah sesuatu yang diperlukan oleh badan untuk memulakan tindak balas badan terhadap sesuatu perkara. Tindak balas lawan atau lari adalah cara badan membela diri sendiri daripada sesuatu yang mungkin membahayakan.

Stres tidak semestinya dari segi emosi, tetapi juga membabitkan fizikal seperti sakit akibat luka atau akibat penyakit seperti demam dan lain-lain.

Menurut Pegawai Dietetik, Nur Hafizah Mahamd Sobri ada dua sebab mengapa kita berasa lapar ketika mengalami stres iaitu apabila badan dalam keadaan ini ia akan menghasilkan hormon kortisol dan insulin untuk menyediakan badan berdepan dengan stres itu.

Gabungan dua insulin ini katanya, menyebabkan kita ingin mengambil makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak. Makanan yang tinggi gula terutama gula ringkas dapat membekalkan tenaga yang cepat kepada badan untuk mengambil tindakan lawan atau lari.

Jadi katanya, inilah sebabnya mengapa ketika stres makanan yang menarik perhatian kita adalah makanan tinggi kandungan gula dan lemak seperti coklat, gula-gula, pencuci mulut dan seumpamanya. Walaupun mengambil makanan yang sihat seperti salad atau air kosong, keinginan itu tidak akan hilang.

“Sebab kedua adalah ketika stres, hormon ghrelin iaitu hormon lapar juga akan dilepaskan. Gabungan hormon lapar dan hormon yang menaikkan keinginan makanan manis akan menyebabkan seseorang yang stres mengambil makanan tinggi gula, tinggi lemak dan juga dalam kuantiti berlebihan.

“Jadi, selera atau keinginan makanan manis yang luar biasa ketika stres sebenarnya adalah hasil daripada gabungan hormon kortisol, insulin dan ghrelin tadi,” katanya.

Jadi, bagaimana mahu mengatasi keinginan untuk makan lebih daripada biasa apabila kita stres?

Menurut Nur Hafizah, semasa stres jangan terus mencari makanan untuk dikunyah.

Katanya, kebanyakan individu mengalami stres secara emosi atau psikologi tidak memerlukan kalori atau zat yang berlebihan daripada makanan. Makan disebabkan stres adalah antara penyebab obesiti terutama dalam kalangan wanita.

Kajian menunjukkan wanita lebih cenderung untuk mengambil makanan ketika stres dan lelaki pula lebih tertarik kepada alkohol atau merokok. Makan akibat stres ini cuma dapat melegakan tekanan buat sementara saja.

Menurutnya, semasa stres kita cenderung mencari makanan tinggi gula dan lemak, tetapi tindakan itu hanya akan membantu melegakan fikiran selama beberapa minit saja ketika paras hormon stres sedang tinggi, tetapi akibatnya berat badan kita akan bertambah.

Apabila berat badan bertambah, kita akan berasa stres semula. Kitaran ini akan berulang dan akhirnya masalah kegemukan menghimpit diri.

Katanya, kitaran ini perlu diberhentikan dengan menukar amalan. Jika alami stres, anda boleh mencari aktiviti lain yang mengurangkan stres contohnya menulis jurnal ketika marah atau sedih, bersukan seperti mengambil kelas seni mempertahkan diri atau berenang atau paling mudah boleh mengunyah gula-gula getah bebas gula.

“Bersenam adalah cara semula jadi badan menghasilkan hormon endorfin yang bertugas sebagai hormon antistres. Hormon ini juga boleh membantu anda tidur dengan lebih lena dan juga meningkatkan keyakinan diri.

“Jika anda berasa stres ketika menghadap skrin komputer, rehat dulu selama lima minit dan ambil masa untuk berjalan atau membuat sedikit regangan badan. Anda akan berasa lebih baik dan kurang stres, badan juga makin bertenaga,” katanya.

Makanan yang membantu mengurangkan stres Nur Hafizah berkata, jika perlu atau tiada ruang untuk bersenam semasa stres, anda boleh mengam­bil makanan ini untuk membantu mengurangkan stres, tetapi pada masa sama tidak menambah kalori dan lemak ke dalam badan.

Ketika stres anda boleh ambil gula-gula getah bebas gula. Gula-gula ini tiada kalori, tetapi masih mempunyai rasa manis daripada pemanis tiruan. Badan akan menganggap anda sedang mengambil makanan manis maka keinginan kepada sesuatu yang manis dapat diatasi tanpa mendapat kalori berlebihan.

Luangkan masa untuk diri sendiri dengan membaca buku, surat khabar atau pun media sosial sambil menghirup minuman seperti teh o atau kopi o kurang gula.

Amalan mengunyah dan menghirup juga akan ‘menipu’ badan bahawa anda sebenarnya sedang makan makanan tanpa mengambil kalori yang berlebihan daripada makanan dan minuman tinggi gula dan lemak.

Makanan perlu dielak ketika stres

Menurut Nur Hafizah, elakkan makanan yang tinggi gula, lemak dan garam seperti jajan dan semua makanan manis termasuk coklat, gula-gula manis, ais krim, serta air berkarbonat.

Makanan ini amat padat dengan kalori dan jika diambil ketika stres, kuantitinya akan bersamaan seperti anda mengambil satu hidangan berat.

“Sebagai contoh, jika anda mengambil satu paket sederhana snek atau jajan ketika stres, kalori yang diambil adalah 300 kalori dan ke atas. Kalori itu hampir sama seperti anda mengambil semangkuk bihun sup.

“Maka pengambilan kalori yang berlebihan tadi akan menyebabkan pertambahan berat badan dan anda juga mungkin bertambah stres akibat badan semakin ‘kembang’ dan tidak sihat,” katanya.

Tip hindari stres melalui pemakanan dan gaya hidup sihat

1. Jangan terus capai makanan ketika stres, sama ada makanan atau minuman.

2. Anda dinasihatkan untuk tidak menyimpan makanan atau snek yang tidak sihat di rumah, atau di tempat yang mudah dicapai seperti atas meja, dalam laci pejabat dan lain-lain untuk elak daripada pengambilan secara berlebihan.

3. Anda juga dinasihatkan amalkan senaman ringan semasa stres. Lebih elok jika dapat mengamalkan senaman yang konsisten sepanjang minggu. Paling tidak, boleh fokus untuk mencapai 10,000 langkah sehari. Untuk tip diet boleh layari www.nasihatdiet.com atau www.nutriweb.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 6:00 AM