GOMEZ memantau sesi latihan pemain Johor DT, kelmarin.
GOMEZ memantau sesi latihan pemain Johor DT, kelmarin.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Percaturan taktikal ampuh Mario Gomez buat Johor Darul Ta’zim (Johor DT) atau Zainal Abidin Hassan yang membimbing Selangor akan menjadi penentu sama ada juara Liga Super dua musim berturut-turut mampu mepertahankan Piala Sumbangsih atau juara Piala Malaysia melakar kejutan pada aksi di Stadium Larkin, malam ini.

Malah perlawanan Johor DT dan Selangor boleh dianggap pertembungan dua gergasi bola sepak tanah air ketika kedua-dua paukan itu memiliki reputasi dan kelas tersendiri.

Bagi Gomez aksi Johor DT menentang Selangor amat penting bukan saja mahu mempertahankan kemenangan Piala Sumbangsih malah ia bakal menyuntik motivasi pemainnya untuk memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan.

“Walaupun saya jangkakan aksi pada perlawanan malam ini mungkin seimbang namun saya mahu pemain Johor DT memberi persembahan terbaik dengan corak permainan taktikal kemas.

“Mungkin kami ada kelebihan kerana beraksi di laman sendiri tapi kami tidak boleh selesa kerana jika terlalu mengambil sikap mudah ia menyebabkan kami leka dan lawan akan mengambil kesempatan untuk menewaskan kami.

“Bagaimanapun saya percaya, pemain Johor DT sudah bersedia dan mereka tidak rela tewas di tempat sendiri malah kelibat Azamuddin Akil yang sudah pulih daripada kecederaan juga semakin agresif menjalani latihan,” katanya.

Gomez mengesahkan hanya Junior Eldstal diketepikan selepas belum pulih daripada kecederaan manakala Asraruddin Putra Omar tampak kembali cergas tetapi belum bersedia diturunkan pada aksi kompetitif.

Beliau juga tidak menolak akan menurunkan pemain import baru, Juan Martin Lucero namun belum ada kepastian sama ada pemain itu diturunkan pada babak pertama atau kedua.

“Lucero memerlukan sekurang-kurang dua atau tiga perlawanan untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan bola sepak Malaysia dan saya tidak bimbang mengenai tahap kecergasannya.

“Bagi pertembungan menentang Selangor malam ini, saya menggesa barisan pertahanan mengawasi kelicikan Patrick Ronaldinho yang berbahaya jika diberi ruang dalam kotak penalti,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 5:22 AM