Oleh Neelofa

Assalamualaikum semua pembaca setia Nota Neelofa! Awal semua bangun hujung minggu sebegini ya, tengah siap-siap nak keluar membuat persiapan akhir menjelang Syawal?

Maklumlah minggu depan dah nak raya, jadi minggu ini boleh dikatakan minggu terakhir anak-anak di perantauan berada di ibu kota sebelum pulang berhari raya bersama yang tersayang.

Dalam rancak membuat persiapan hari raya, jangan kita terlupa yang kita sekarang masih dalam bulan puasa. Kalau boleh, biarlah ibadah puasa kita sama meriah dengan keterujaan kita nak menyambut ketibaan Syawal yang dinanti-nantikan.

Biasalah, bila tiba penghujung Ramadan, makin sunyi surau dan masjid. Tak baiklah kalau macam itu. Kan lagi baik jika kita dahulukan Ramadan.

Entah tahun depan berkesempatan atau tidak kita menyambut kedatangan Ramadan. Jadi, gunakanlah kelebihan bulan Ramadan yang ada sekarang ini dengan memperbanyakkan amal ibadat.

Pasti kebanyakan daripada kita sudah sinonim dengan kelebihan 10 malam terakhir Ramadan, ‘kan? Ia 10 malam yang paling popular dan dinanti-nanti dalam kehidupan seorang yang beriman pada Allah SWT kerana ketika 10 malam ini, ada satu malam yang ganjarannya melebihi 1000 bulan iaitu malam Lailatulqadar.

Banyak keistimewaannya 10 malam terakhir yang disebut di dalam al-Quran, terutama terjadinya Lailatulqadar iatu malam ketika bila al-Quran diturunkan dan banyak lagi.

Lofa tak nak terang lebih lanjut sebab Lofa pun bukannya pandai sangat. Hanya berkongsi melalui pembacaan dan pemahaman hasil daripada kelas yang Lofa hadiri. Kalau salah, tolong betulkan, ya?

Waktu Lofa kecil, Lofa selalu tertanya-tanya kenapa Malam Lailatulqadar terletaknya di antara 10 malam terakhir. Kenapa tiada tarikh spesifik atau pun khas. Lagi satu, kenapa pula perlu dirahsiakan?

Apabila menginjak dewasa, baru Lofa mengerti. Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan Allah SWT sebagai ujian pada umat Islam dalam mencari rahmat dan keberkatan daripada-Nya.

Jadi, bagi mereka yang benar-benar beriman, mereka akan lebih teruja dalam mencari keredaan Allah SWT dengan melipatgandakan amalan di dalam bulan Ramadan.

Banyak sebenarnya yang boleh kita lakukan dalam usaha mendapatkan keberkatan malam Lailatulqadar terutama bersolat secara berjemaah di masjid. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, maka dia juga menghidupkan seluruh malam itu” (hadis riwayat Abu Dawud).

Amalan lain yang boleh dilakukan untuk mengimarahkan 10 malam terakhir Ramadan ialah dengan memperbanyakkan solat sunat seperti solat hajat, solat taubat, solat tahajud dan berzikir pada Allah SWT.

10 malam terakhir boleh dikatakan agak meletihkan bagi mereka yang tidak biasa melaluinya. Bagi yang bekerja, pastinya terasa sedikit keletihan keesokan hari.

Kesabaran dan keazaman yang tinggi sangat diperlukan dalam mencari keberkatan malam Lailatulqadar. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan penat lelah dan usaha yang perlu dicurahkan, berbanding keberkatan malam Lailatulqadar, ‘kan?

Bagi pengalaman Lofa sendiri, selalunya menjelangnya 10 malam terakhir, Lofa sekeluarga cuba sedaya upaya berkumpul beramai-ramai pada waktu pagi sehingga menjelang Subuh untuk beribadat.

Kata Mama Lofa, selain berusaha mendapatkan keberkatan, melalui aktiviti sebegini secara tidak langsung menguatkan lagi ikatan kekeluargaan antara kami sekeluarga.

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini jika tiada sebarang halangan, Lofa akan cuba penuhi aktiviti malam Lailatulqadar ini.

Jika kita sudah tahu betapa hebatnya 10 malam terakhir, kenapa kita masih perlu teragak-agak untuk berusaha mendapatkannya? Jangan biarkan ladang rahmat dan keberkatan yang terhidang di depan kita berlalu tanpa perhatian.

Serius pula topik Nota Neelofa minggu ini. Kadang-kadang saja, bukannya selalu. Harapan Lofa, semua orang akan memperoleh sedikit input melalui penulisan Lofa minggu ini.

Sebelum Lofa mengundurkan diri, dengan kesempatan yang ada ini Lofa ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli keluarga, rakan-rakan, peminat, pembaca setia Nota Neelofa serta keseluruhan rakyat Malaysia amnya.

Doa Lofa, semua orang dapat meraikannya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan, Ingat, bagi yang nak pulang berhari raya, pastikan pemanduan anda sentiasa berhemah dan pandu dengan berhati-hati. Jadikan kepulangan anda sesuatu perkara yang dinanti, bukannya ditangisi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 12:45 AM