Oleh Neelofa

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu buat semua pembaca setia Nota Neelofa. Alhamdulillah, kita sekali lagi berkesempatan meluangkan masa bersama dengan yang tersayang pada hujung minggu sebegini.

Bagi yang tidak mempunyai sebarang perancangan, alahai ruginya. Janganlah sia-siakan cuti hujung minggu anda tanpa berbuat apa-apa. Kalau duduk berasingan dengan keluarga, gunakanlah kesempatan ini untuk pulang menziarahi mereka.

Topik Nota Neelofa pada hari ini, ialah kepentingan menjaga hubungan bersama ahli keluarga. Mungkin topik yang Lofa mahu bincangkan ini kedengaran sedikit klise dan ringan pada pengamatan seseorang. Percayalah ia tidak semudah dan seringan yang disangka.

Keluarga unit penting dalam kehidupan seseorang. Suka atau tidak, memang perlu diakui ahli keluargalah antara individu yang paling memahami dan sentiasa ada tatkala suka atau duka.

Jika dengan orang lain mungkin kita akan takut atau terlalu berhati-hati untuk berkongsi cerita, tetapi bersama ahli keluarga pasti kita akan lebih yakin dan selamat.

Lofa boleh dikatakan beruntung kerana dikurniakan ahli keluarga yang sangat memahami dan terbuka. Dari awal penglibatan Lofa dalam dunia seni hinggalah sekarang, keluargalah penyokong nombor satu Lofa.

Apabila dihujani pelbagai kontroversi dan cerita tidak sedap didengar, ahli keluarga Lofa tidak cepat melatah dan menjatuhkan hukuman.

Mungkin kerana dari kecil sudah dibentuk dengan nilai bahawa keluarga penting dan harus didahulukan dalam apa juga keadaan dan situasi. Sehingga kini, keluarga menjadi tunggak dalam apa juga yang Lofa lakukan.

Jika mempunyai sebarang masalah sekalipun, ahli keluargalah antara individu terawal yang akan Lofa beritahu dan minta pandangan.

Mungkin juga kerana terlalu selesa dikelilingi mereka, Lofa pun mengambil keputusan untuk melibatkan ahli keluarga Lofa secara langsung dalam urusan perniagaan.

Bagi mereka yang pernah berurusan dengan perniagaan yang Lofa kendalikan, pasti anda perasan yang mama, kakak mahupun adik Lofa sentiasa berada di butik.

Ada sesetengah pihak tidak suka membabitkan atau mendedahkan ahli keluarga mereka bukan? Lain pula bagi Lofa. Bagi Lofa, dengan penglibatan mereka secara langsung, sebenarnya ia menjadi cara paling baik untuk merapatkan lagi hubungan sesama ahli keluarga.

Secara psikologi, bekerja bersama ahli keluarga boleh Lofa jadikan sebagai motivasi untuk ke butik setiap hari dan mengusahakan perniagaan dengan lebih bersemangat.

Melihatkan sumbangan tenaga dan semangat semua ahli keluarga, ia secara tidak langsung mencabar ego Lofa. Jika mereka begitu bersemangat hendak membantu, kenapa Lofa tidak boleh buat benda yang sama untuk diri Lofa?

Walaupun di butik secara profesionalnya Lofa adalah ketua, namun Lofa tidak pernah meletakkan atau menjadikannya sebagai dinding penghalang. Di butik, kami akan kekal sebagai satu keluarga.

Cuma bezanya, keluarga kami akan lebih besar dengan kehadiran pekerja yang Lofa sangat sayangi dan hargai. Itulah uniknya keluarga Lofa. Kami boleh dikatakan agak rapat. Kalau boleh semua perkara hendak dilakukan bersama-sama.

Bagi yang merasakan dirinya seakan-akan kurang menghabiskan masa dengan keluarga, apa kata mulai hari ini tanamkan dalam diri mengenai bertapa penting dan bertuahnya anda kerana masih mempunyai ahli keluarga.

Tidak susah sebenarnya hendak mula menyayangi dan mengutamakan keluarga. Luangkan masa sekurang-kurangnya sekali dalam masa dua minggu untuk beriadah.

Bagi yang duduk berhampiran, pulanglah ke rumah keluarga anda sekerap mungkin untuk makan tengah hari atau malam. Bagi yang tinggal agak jauh, telefon kan ada? Hubungi ahli keluarga anda sekali sehari sekurang-kurangnya.

Andai ada rezeki lebih, bawalah keluarga pergi bercuti bersama-sama. Dengan bercuti, anda akan dapat mengenali ahli keluarga dari sisi yang berbeza dan sekali gus merapatkan lagi hubungan yang sudah sedia rapat. Sekian dari Lofa, bertemu lagi di minggu hadapan insya-Allah. Assalamualaikum!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 12:04 AM