Oleh Neelofa

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Macam biasa, Nota Neelofa kembali menemui anda saban minggu. Pasti ada saja perkara yang Lofa fikir untuk coretkan dalam catatan peribadi Lofa.

Minggu ini Lofa ingin berkongsi pendapat mengenai gejala pembuli maya (cyber bully) yang baru-baru ini rancak diperkatakan berikutkan insiden tersebarnya video seorang peserta program realiti yang gagal menjawab soalan pengacara dengan baik.

Bagi Lofa, cyber bully bukan perkara baru. Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku di sekeliling kita. Cuma kita lebih gemar mengamalkan sikap tidak serik dan ambil iktibar dengan apa yang berlaku.

Contohnya, sebelum ini tersebar video seorang wanita mengamuk selepas keretanya dilanggar seorang pak cik. Videonya mendapat liputan meluas dalam kalangan pengguna media sosial. Pelbagai tohmahan dan kritikan diterima wanita itu.

Selepas beberapa hari berlalu, baru kita sedar tindakan itu sebenarnya satu contoh buli siber. Selepas itu, komuniti sosial media bersepakat menghapuskan gejala ini dengan lebih berhati-hati apabila memberi komen.

Sayang, azam dan iltizam yang diluahkan komuniti media sosial hanya bertahan sementara. Selepas beberapa bulan, kini muncul pula isu Mawar Rashid.

Lofa tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tiada siapa yang betul dan tiada siapa yang salah. Apa yang merisaukan Lofa sebenarnya ialah cara kita meluahkan perasaan dan memberi kritikan dalam sesuatu perkara. Lofa lihat ramai yang mengkritik mengikut sedap rasa berbanding logik akal fikiran.

Mungkin ada yang berpendapat ia sekadar media sosial dan kenapa perlu serius dan berfikiran logik. Bukankah media sosial tempat yang menyeronok­kan tanpa batasan?

Bagi Lofa, pemikiran anda teramatlah salah. Tahu tak, media sosial kini senjata perang psikologi yang sangat berkesan. Bayangkan serangan psikologi dihadapi mangsa buli siber. Kesannya tiada di luaran, semuanya dalaman, terutama mental individu itu.

Justeru pada kesempatan ini Lofa ingin menyeru semua rakyat Malaysia, hentikan kegiatan buli siber. Jika ada sekalipun perkara yang berlaku di sekeliling kita yang mungkin menarik untuk diperkatakan, berkatalah dengan kadar sederhana.

Ingat, apa yang anda tulis atau perkatakan sebenarnya mencerminkan diri anda. Lagi satu, cuba letak diri anda dalam situasi mangsa buli siber, apa yang anda rasa? Mesti tertekan, bukan? Itu yang mungkin Mawar rasa sekarang. Berikan dia dan pengacara itu ruang.

Itu mengenai buli siber, seterusnya Lofa nak kongsi pula pandangan mengenai sikap segelintir kita yang tidak gemar membaca atau mengambil tahu hal semasa yang berlaku di sekeliling kita.

Bagi Lofa, sangat tidak wajar jika seseorang itu memberi alasan tidak tahu mengenai sesuatu perkara, terutama perkara yang menjadi perbualan satu negara. Sekarangkan zaman teknologi, semuanya di skrin telefon saja. Sekalipun tidak ada masa menonton berita di televisyen atau akhbar, boleh saja ikuti perkembangan di telefon pintar masing-masing.

Rugilah seseorang itu tidak tahu mempergunakan kemudahan teknologi yang ada. Nak lagi jika individu itu dikenali ramai. Pasti banyak mata memerhati tingkah laku dan perilaku.

Nasihat Lofa, bukan hanya untuk Mawar tetapi untuk semua termasuk diri Lofa sendiri, jangan pernah berhenti untuk membaca dan mempelajari sesuatu yang baru. Ikutlah kata orang dulu-dulu, belajarlah hingga ke China kerana dengan ilmu, sesungguhnya kita makin dihormati.

Lofa pernah melalui pengalaman buli siber. Tipu jika Lofa tidak tertekan dengan apa yang berlaku. Namun, seperkara yang Lofa belajar dari perbuatan buli siber ialah, mereka sebenarnya mempunyai kehidupan yang tidak menarik sehingga sanggup mengganggu ketenteraman orang.

Setiap kali Lofa berada dalam situasi ini, apa yang Lofa akan lakukan ialah berdiam diri. Jika perkara itu benar-benar serius dan memerlukan penjelasan, Lofa akan lakukan apabila semuanya reda dan tenang.

Lofa tak nak menambah lagi minyak ke dalam api yang marak. Seperkara yang Lofa puji mengenai Mawar ialah cara beliau menghadapi situasi ini.

Mawar bijak memberi kenyataan dan meminta maaf dengan apa yang berlaku. Oleh itu, berikan ruang kepada Mawar untuk memperbaiki diri sebab Lofa nampak Mawar sangat berpotensi.

Apa pula pandangan Lofa mengenai tatacara pengacara dalam video itu? Lofa difahamkan, itu ­hanya lakonan semata-mata. Pengacara diberi arahan untuk tampil garang dan berlagak sebagai satu ujian kepada setiap peserta.

Walaupun ia sekadar lakonan, Lofa sebenarnya kurang bersetuju dengan apa yang dilakukan.

Bagi Lofa, sebagai pengacara, menjadi tugas kita untuk membuatkan tetamu kita berasa selesa dan teruja untuk bersama kita.

Ambillah pendekatan tetamu datang rumah kita, takkan kita nak beri layanan buruk pula, bukan? Ini juga peringatan untuk Lofa supaya tidak melampaui batas sebagai pengacara dan sentiasa mematuhi serta menghormati etika kewartawanan sedia ada.

Panjang gila Lofa membebel minggu ini. Bukan apa, sambil berceloteh, sebenarnya Lofa nak berpesan juga. Harap-harap semua mendapat serba sedikit input daripada tulisan Lofa.

Akhir kata, yang baik jadikan teladan, yang buruk jauh-jauhkanlah. Jangan lupa, jom banteras gejala buli siber!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 11:48 AM