Oleh Neelofa

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tinggal beberapa hari saja lagi umat Islam bakal menyambut kedatangan Ramadan yang dinanti-nantikan.

Harapnya, semua dah perkuatkan diri baik dari segi fizikal mahupun mental. Kata orang, bulan puasa cabarannya lebih kuat dan sedikit berbeza daripada bulan biasa.

Pastinya Lofa doakan agar semua pembaca setia Nota Neelofa, dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan mendapat syafaat daripadanya.

Minggu ini Lofa nak bercerita mengenai perkembangan perniagaan Lofa. Macam dah lama tak kongsi dengan anda semua. Alhamdulillah, sebelum Lofa teruskan artikel Lofa berkaitan Naelofar Hijab, Lofa nak ambil kesempatan untuk ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembeli dan penggemar Naelofar Hijab.

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini sambutan diterima amat menggalakkan. Tiada kata yang mampu Lofa ungkapkan untuk menzahirkan perasaan bersyukur dan teruja Lofa terhadap sokongan anda semua.

Bagi yang mengikuti perkembangan Lofa mahupun Naelofar Hijab di laman sosial, pastinya mengetahui baru-baru ini Lofa keluar dengan koleksi hijab terbaru, kolaborasi bersama laman beli belah popular tanah air, Zalora.

Kolaborasi ini dinamakan Majestic Love. Melalui kolaborasi ini, Naelofar Hijab menghasilkan satu rekaan khas, bagi mereka kaki shopping secara online.

Rekaan dihasilkan benar-benar sangat sentimental bagi Lofa memandangkan ini kolaborasi pertama Naelofar Hijab dengan mana-mana pihak sekalipun. Daripada satu rekaan diilhamkan, Naelofar menghasilkannya kepada 24 pilihan warna.

Selepas dua minggu dilancarkan, khabarnya sambutan diterima memberangsangkan. Alhamdulillah, syukur di atas penerimaan dan sokongan anda ke atas koleksi "Majestic Love" ini.

Pasti ramai bertanya, macam mana terjadinya kolaborasi ini. Sebenarnya ada peristiwa lucu pada awal proses kolaborasi ini.

Waktu itu usia Naelofar Hijab baru mencecah empat bulan. Bayangkan, seawal itu Naelofar Hijab dipinang Zalora untuk bekerjasama. Pada mulanya, macam tak begitu yakin dengan kemampuan Lofa untuk menjayakan kolaborasi ini.

Persoalan mampukah Lofa penuhi selera dan permintaan orang ramai dalam masa yang sangat singkat bermain-main di fikiran tapi apabila melihatkan perkembangan Naelofar Hijab yang saban hari makin diterima, ditambah pula dengan permintaan mereka yang sukar mendapatkan Naelofar Hijab, terus Lofa membuat keputusan menerima pinangan Zalora.

Sepanjang proses kolaborasi ini, banyak sangat perkara yang Lofa pelajari. Sebut saja perkataan kolaborasi, pasti ramai mengharapkan sesuatu yang sangat istimewa dan lain daripada hijab yang pernah Naelofar hasilkan. Lofa akui, ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Lofa untuk menghasilkan yang terbaik buat peminat Naelofar semua.

Alhamdulillah, ramai yang sudi menghulurkan bantuan dari segi tenaga dan idea untuk koleksi Majestic Love. Hasilnya, anda boleh lihat sendiri di laman sesawang Zalora.

Melihat hasil rekaan kita digayakan orang lain satu perasaan yang sangat indah bagi Lofa. Tiada perkataan mampu menggambarkannya.

Tapi dalam kegembiraan itu, Lofa terkilan apabila mengetahui hasil rekaan Naelofar Hijab ditiru dan dijual sewenang-wenangnya. Lofa akui keadaan pasaran sekarang sangat sensisitif. Terlalu banyak jenis rekaan hijab dihasilkan peniaga dan pereka yang berbakat.

Tapi dengan mengambil keuntungan daripada hasil penat lelah orang lain, bukan satu langkah bijak untuk dipraktikkan. Anda boleh dianggap sebagai mencuri dan boleh didakwa tapi Lofa tak naklah memanjangkan kes ini.

Harapan Lofa kepada semua peniaga, berniagalah dengan jujur dan bertimbang rasa. Jangan mengambil kesempatan ke atas usaha dan tenaga orang lain. Setakat ini, Lofa masih memantau perkembangan gejala ini.

Apabila tiba bulan puasa, mesti ramai berlumba-lumba nak beli baju raya serta hijab, tidak terkecuali pereka fesyen. Lofa sempat menghadiri beberapa pertunjukkan fesyen, khas sempena menanti kedatangan Syawal. Tahun ini menyaksikan ramai sangat pereka fesyen hadir dengan koleksi yang sangat menarik dan yang paling penting, mampu dimiliki.

Bagi Lofa, perkembangan ini sebenar­nya sangatlah positif. Dengan adanya koleksi khas Syawal ini, pasti ianya akan menyemarakkan lagi kemeriahan Syawal di samping mampu merealisasikan impian mereka yang selama ini hanya mampu melihat rekaan pereka tertentu di majalan atau televisyen.

Tapi ingat, dalam keghairan kita membeli-belah, jangan lupa pula ibadah puasa yang kita jalani. Seperkara lagi, sila rancang kewangan anda dengan baik dan betul. Lofa tak nak punyalah berhabis sakan untuk puasa dan raya, lepas itu menyusahkan diri.

Kalau ke bazar Ramadan, beli apa yang perlu sahaja. Ingat penggunaan kewangan anda selepas bulan puasa dan raya.

Rasanya cukup setakat di sini untuk Nota Neelofa minggu ini. Sekali lagi buat mereka yang hendak memiliki koleksi Majestic Love dari Naelofar Hijab, boleh dapatkan di Zalora.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 1:16 AM