Oleh Neelofa

Assalamualaikum. Lofa memulakan penulisan Nota Neelofa minggu ini dengan sloga #DOAUNTUKMALAYSIA! Rasanya, itu yang terbaik kerana kita sedia maklum bencana banjir yang melanda.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiada kata dapat Lofa zahirkan bagi meluahkan rasa hati Lofa mengenai nasib dan ujian menimpa mereka yang terbabit di seluruh negara.

Doa dan kata-kata semangat rakyat Malaysia pasti ditagih, sekurang-kurangnya itu yang mampu kita semua berikan di saat sukar ini.

Hanya beberapa hari tinggal sebelum 2014 melabuhkan tirainya. Bagaimana anda lihat 2014? Adakah tahun ini berlalu dengan jayanya? Macam mana pula de­ngan azam yang ditanam pada awal tahun?

Alhamdulillah, 2014 boleh Lofa simpulkan sebagai tahun lancar baik dari segi kerjaya seni, pelajaran mahupun bisnes. Syukur sangat segala perancangan berjaya dilaksanakan. Biasalah, ada sikit tergelincir. Pastinya kenangan 2014 akan Lofa semat erat di dalam hati.

Antara perkara penting yang berlaku sepanjang 2014 yang tak akan dilupakan ialah mendapat peluang berkongsi cerita suka dan duka Lofa melalui Nota Neelofa.

Jutaan terima kasih Lofa ucapkan kepada Metro Ahad kerana mempercayai kebolehan Lofa. Berita baik juga untuk anda semua kerana Nota Neelofa akan diteruskan sehingga ke penghujung 2015.

Diharapkan pembaca semua terhibur dengan penulisan Lofa dan sedikit sebanyak mendekatkan lagi diri Lofa dengan anda semua.

Insya-Allah untuk 2015, Lofa akan berkongsi lebih lagi dan bersedia menerima cadangan daripada pembaca semua. Jika anda ada apa-apa persoalan yang bermain di fikiran, tanya dan cadangkan saja kepada Lofa, ya.

Dari segi karier pengacaraan, macam semua sedia maklum, Lofa bakal meninggalkan Nona selepas tiga tahun bersama. Sedih memang sedih, tapi hidup perlu diteruskan. Lofa rasa dah berikan yang terbaik.

Namun jangan risau, wajah Lofa masih boleh dilihat dalam Meletop! Ya, Lofa akan terus mengacarakan Meletop bersama Nabil. Baru-baru ini pun Lofa sertai 'brainstorming' Meletop 2015! Banyak idea dan pembaharuan yang bakal diperkenalkan. Tak sabar-sabar pula menemui anda untuk 2015.

Tidak dilupakan bidang lakonan. Walaupun sibuk dengan bidang pengacaraan sepanjang 2014, tahun depan Lofa akan muncul dengan beberapa produk baru.

Sebagai contoh, filem Pilot Cafe. Insya-Allah jika tiada aral melintang, ia akan menemui anda tahun depan tapi Lofa belum dapat sahkan tarikh tayangannya. Apabila ada tarikhnya nanti, kita tengok sama-sama, ya.

Azam 2015 Lofa, harap segala perancangan berjalan seperti dirancang. Lofa juga kalau boleh nak luangkan lebih masa dengan keluarga dan sahabat Lofa.

2014 jadual Lofa sibuk, banyak 'update' Lofa terlepas, terutama perkembangan rakan. Siap ada yang Lofa jumpa, dah beranak, mengandung dan kahwin. Cepat sangat masa berlalu.

Lagi satu, 2015 Lofa harap sempena tahun Kambing mengikut zodiak kaum Cina, kehidupan Lofa dikelilingi mereka yang positif dan membawa energi kuat.

Kontroversi pun kalau boleh Lofa nak kurangkan, tak naklah dikaitkan dengan itu ini lagi. Kahwin pula kalau ada rezeki tapi tak nak komen lanjut, takut nanti timbul isu lain pula.

Pasang azam memang seronok, tapi jangan terlampau tinggi sampai tak tercapai. Tak salah nak set tanda aras tinggi, anggap itu sebagai cabaran anda. Jadi ke tidak, tunggulah sehingga penghujung 2015, ya.

2015 semestinya menjanjikan cabaran lebih kuat dan getir buat kita semua. Lofa harap semua orang akan memperkemaskan diri, kuatkan mental dan gandakan usaha untuk kita terus mengharungi 2015.

Jadikan 2014 sebagai tanda aras yang perlu kita lepasi. Jika 2014 bangun kerja selalu terbabas, apa kata pada 2015 jom kita sama-sama cermin diri, ubah dan displinkan diri kita. Bangun awal pergi kerja.

Berjimat cermat dalam membeli dan sentiasa berhati-hati dalam apa jua aktiviti harian kita. Kiranya 2015 macam permulaan baru buat kita semua.

Bagi adik-adik yang masih belajar, selamat kembali ke sekolah Kak Lofa ucapkan. Selamat menempuh alam persekolahan yang pastinya zaman paling menyeronokkan.

Jadikan zaman sekolah sebagai zaman paling diingati. Jangan jadi macam Kak Lofa, bila dah habis sekolah, baru terkenang-kenang nak kembali ke zaman persekolahan. Dah terlambat.

Hargailah peluang yang adik-adik ada. Bagi yang ambil peperiksaan tahun ini, belajar dari awal tahun dan jangan belajar pada saat akhir.

Rasanya itu saja yang mampu Lofa kongsikan bersama anda minggu ini. Sekali lagi, #DoaUntukMalaysia. Ringankan tangan, murahkan hati kita. Jangan lupa derma seandainya anda berkemampuan.

Jom bersama-sama Lofa, kita ringankan beban mereka yang terbabit dengan bencana banjir. Semoga apa yang berlaku menjadi iktibar buat kita semua. Ini tandanya Dia masih menyayangi kita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 10:40 PM