Oleh Neelofa

Assalamualaikum dan selamat hujung minggu semua. Harapan Lofa, semua dalam keadaan kesihatan terbaik dan ceria bersama tersayang.

Terima kasih juga kepada pembaca setia Nota Neelofa yang saban minggu tak jemu-jemu membaca penulisan yang tidak seberapa daripada Lofa.

Diharapkan melalui penulisan Lofa, pembaca akan dapat sedikit ilmu dan ‘input’ berguna di samping dapat mengenali Noor Neelofa dari perspektif berbeza.

Minggu ini, Nota Neelofa bercerita mengenai kepentingan kita menghargai setiap perkara kecil yang berlaku di sekeliling kita. Kiranya minggu ini Nota Neelofa bertemakan inspirasi.

Kehidupan pada zaman serba maju ini memang tersangat mencabar dan meletihkan. Setiap perkara yang kita lakukan hendaklah serba pantas. Dalam kesibukan kita menjalani kelangsungan hidup, pasti kita kadangkala terlupa atau terlepas pandang perkara yang memang nampak kecil tapi hakikatnya akan membawa impak besar jika kita mula menghargainya.

Nak tahu apakah perkara itu? Pertama, berterima kasih. Meskipun ia sekadar ucapan ringkas, namun kebanyakan daripada kita sangat berat mulut untuk mengucapkannya. Pernah terfikir tak, betapa besarnya pengorbanan mereka di sekeliling kita yang berusaha sehabis baik untuk kesenangan kita?

Ambil saja contoh pekerja pembersihan. Tanpa kehadiran mereka, pasti persekitaran kita tidak ‘nyaman’ seperti apa yang kita miliki sekarang. Jadi, sudahkah anda berterima kasih kepada mereka? Jika selama ini anda seakan-akan endah tidak endah dengan kehadiran mereka, apa kata lepas ini jom ubah mentaliti kita. Mari hargai setiap bantuan dan pertolongan orang lain.

Kedua, toleransi dan bertolak ansur. Ini pun satu ‘penyakit’ orang kita yang memang sukar mengalah. Iya, memang semua orang nak cepat, memang semua orang nak senang, tapi beringatlah juga. Jangan bersikap pentingkan diri.

Tidak semua orang bernasib baik seperti kita. Contohnya, jika ternampak orang buta hendak melintas jalan, berhentikanlah kereta anda. Bagi peluang untuk golongan OKU melintas dengan selamat. Lebih baik jika anda sendiri pimpin mereka melintas jalan.

Insya-Allah segala kebaikan yang kita lakukan akan mendatangkan kebaikan kepada kita pada masa mendatang.

Ketiga, mengangkat sendiri dulang makanan anda. Setuju tak kebanyakan daripada kita memang selalu abaikan perkara ini.

Tahukah anda kenapa harga makanan di ruangan ‘food corner’ dan makanan segera kadangkala jauh lebih murah daripada harga makanan di restoran? Ini kerana pihak peniaga tidak mengenakan caj servis ke atas setiap pembelian anda.

Apabila tiada caj servis, bermakna peniaga tidak mempunyai jumlah tenaga kerja pembersihan yang ramai untuk membantu anda mengemas. Jadi, sangat digalakkan jika anda sendiri membersihkan meja dan meletakkan sisa makanan anda bersama dulang di tempat sepatutnya.

Pernah tak anda beratur untuk membayar duit tempat letak kereta tetapi orang di depan anda mengambil masa lama kerana mesin tidak menerima wangnya?

Lebih teruk, individu itu tidak mempunyai duit kecil. Jika anda dalam situasi ini, apa akan anda lakukan? Mesti ramai yang akan bertukar dan beratur di mesin pembayaran lain, bukan?

Sikap sebegini sangatlah tidak baik. Apa kata selepas ini jika berlaku lagi perkara sebegini, hulurkan saja wang kecil untuk individu itu dan anggap saja pemberian anda sebagai sedekah kepada beliau.

Tindakan anda bukan saja akan membantu individu itu, malah orang di belakang anda juga supaya tidak beratur lama.

Banyak sebenarnya perkara kecil lain yang mungkin antara sedar atau tidak sedar, kita terlupa untuk melakukan dan menghargainya.

Jika kita perhatikan di negara asing, budaya sebegini seakan-akan sebati dengan diri mereka. Bukan hendak mengagungkan budaya dan negara orang lain, tapi anggaplah apa yang Lofa tulis dan sarankan ini sebagai pembuka mata kita supaya menjadi rakyat yang kaya dengan pelbagai nilai mulia.

Lofa terbaca satu kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai ciri-ciri negara maju. Di samping kekuatan ekonomi dan kestabilan politik, keperibadian rakyatnya memainkan peranan penting. Apa gunanya jika negara berstatus maju tetapi mentaliti rakyatnya masih di takuk lama.

Oklah dah macam penceramah motivasi bertauliah pula Lofa minggu ini ya. Ini hanya apa yang Lofa rasa. Jika anda bersetuju, jom kita amalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 3:13 AM