AMINAR Rashid mengumumkan prestasi PERODUA bagi enam bulan pertama 2015.
AMINAR Rashid mengumumkan prestasi PERODUA bagi enam bulan pertama 2015.
Oleh Erywan Norshal

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) optimis mampu mencapai sasaran jualan tahun ini bersandarkan kepada prestasi enam bulan pertama 2015 meningkat 14.8 peratus kepada 108,500 unit kenderaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh permintaan memberangsangkan menerusi model Axia yang menguasai hampir 50 peratus jualan dengan mencatatkan jualan sebanyak 53,700 unit.

“Bagaimanapun, berlaku penyusutan jualan pada suku kedua tahun ini akibat daripada pengenalan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April lalu dan kami menjangkakan permintaaan terhadap kenderaan Perodua sedikit menurun untuk separuh kedua tahun ini.

“Biarpun berlakunya penurunan itu, kami tetap optimis bahawa Perodua mampu untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 208,000 unit menjelang akhir 2015 berdasarkan permintaan kukuh terhadap Perodua Axia dan aktiviti jualan yang dirancang separuh tahun ini,” katanya pada taklimat media prestasi jualan Perodua untuk pertengahan pertama 2015 di sini, semalam.

Sementara itu, Aminar berkata, perolehan daripada servis meningkat 7.6 peratus kepada RM292.6 juta berbanding RM271.8 juta tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, perolehan alat ganti menurun kepada RM120.3 juta atau 2.7 peratus berbanding RM123.7 juta bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun lalu akibat masalah bekalan dalaman.

Beliau turut yakin bahawa Perodua akan mencapai sasaran selepas jualan tahun ini berdasarkan prestasi memberangsangkan bagi segmen perkhidmatan badan dan cat.

“Kita melihat potensi yang baik dari segi perkhidmatan selepas jualan memandangkan perolehan meningkat dan akan meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk kebaikan pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:02 AM