Erywan Norshal


Rawang: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangka kereta sedan baharu menerusi Perodua Bezza akan menjadi satu produk jualan terbaik dengan sasaran jualan 7,600 unit sebulan sepanjang tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, ini kerana model itu menerima tempahan kira-kira 1,200 unit pada hari pertama dibuka untuk tempahan menerusi semua cawangan Perodua seluruh negara dengan model paling popular ialah 1.3 Advance.

Beliau berkata, sasaran pemilik Perodua Bezza terdiri daripada pemilik kenderaan baru dan keluarga muda yang mahukan kereta yang mempunyai but luas bagi kegunaan harian.

“Berdasarkan maklum balas pelanggan, kami belajar apa yang mereka mahu membabitkan kemudahan dalam perjalanan di mana Perodua Bezza mampu menawarkannya.

“Apa yang penting Perodua Bezza ini kenderaan buatan Malaysia untuk rakyat Malaysia,” katanya pada sesi pandu uji khas dengan media di kilang Perodua di Sungai Choh, di sini, kelmarin.

Kereta segmen A kompak itu mula direka pada 2014 membabitkan peruntukan pembangunan RM300 juta dengan 95 peratus komponen tempatan. Harga jualan model Bezza itu mengikut varian bermula dari RM37,300 hingga RM50,800 seunit.

Aminar berkata, kehadiran model sedan pertama memenuhi standard Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) itu bertepatan dengan situasi ekonomi semasa yang agak sukar apabila pelanggan memerlukan kereta menjimatkan minyak dan memilih Bezza sebagai kenderaan mereka.

Menurutnya, pihaknya menjangka kehadiran model itu memberi kesan jualan kepada model lain, tetapi perbezaannya tidak terlalu ketara kerana ia mempunyai ciri tersendiri.

Sementara itu, Aminar berkata, pihaknya menjangkakan Bezza mempunyai peluang dieksport ke negara lain dengan memiliki ciri keselamatan yang mematuhi piawaian global.

“Ia sama ada akan memasuki negara yang sudah kami eksport membabitkan Indonesia, Sri Lanka dan Mauritius atau menerokai pasaran baru.

“Bagaimanapun, buat masa ini kami mahu menumpukan pasaran domestik terlebih dahulu dan rancangan mengeksport dilakukan dalam fasa kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 9:36 AM