Rawang: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengunjurkan jualannya melebihi 195,000 unit tahun ini, khususnya selepas pelancaran model terbarunya, Axia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, ini adalah sasaran yang dipertingkatkan bagi tahun ini dan optimis angka sebenar lebih baik daripada unjuran jualan 193,000 unit yang dibuat sebelum ini.

“Sambutan terhadap model Axia amat menggalakkan dengan tempahan setakat ini mencecah 62,000 unit sejak dilancarkan pada 15 Ogos 2014.

“Ini adalah rekod terbaik kami. Sambutan amat menggalakkan menunjukkan produk kami sememangnya menepati permintaan. Kami sudah melakukan pendaftaran dan menyerahkan 26,000 unit Axia setakat ini serta pada masa sama, berusaha keras meningkatkan kadar pengeluaran agar pelanggan tidak perlu menunggu lama,” katanya pada majlis pembukaan Pusat Hibrid 3S (jualan, perkhidmatan dan alat ganti) yang pertama, di sini, semalam.

Pusat berkenaan menguruskan perkhidmatan dan operasi alat ganti manakala pengedarnya, Medan Prisma Sdn Bhd, menguruskan operasi bilik pameran. Perodua membelanjakan hampir RM1.2 juta manakala Medan Prisma RM7 juta bagi pembinaan serta kelengkapan pusat yang menempatkan kemudahan itu bawah satu bumbung.

Sementara itu, Aminar turut yakin jualan segmen peralatan kenderaan akan meningkat empat peratus tahun ini berbanding RM243 juta pada 2013 yang dipacu hasil pertumbuhan jualan kereta barunya.

“Jualan peralatan kenderaan ini selaras dengan segmen perkhidmatan kami. Apabila jualan kenderaan baru meningkat, ia turut mempengaruhi peningkatan operasi peralatan kenderaan kami,” katanya. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 10:33 AM