Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Pihak berkuasa Vietnam bersedia menjadi saksi untuk membantu proses pendakwaan bagi kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu perkembangan terkini dari Hanoi, Vietnam untuk melaksanakan usaha mengekstradisi kelapan-lapan suspek ke Malaysia.

"Saya dan lima lagi pegawai sudah ke Hanoi untuk berbincang dengan pihak berkuasa Vietnam khususnya pengawal pantai di sana, dan kini kita sedang bekerjasama dengan bertukar pendapat hasil daripada siasatan yang sudah kita laksanakan di negara kita.

"Kita juga mendapat satu maklumat penting daripada pihak berkuasa Hanoi yang boleh menyumbang kepada usaha kita mendakwa pesalah ini, jadi di kita tunggu dalam tiga atau empat hari ini lagi bagaimana keputusannya,"katanya di sini.

Ahmad Puzi berkata, ketika ini lima pegawai kanan APMM masih berada di Hanoi untuk menguruskan segala keperluan.

MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta bersama 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar terputus komunikasi dengan pangkalan pada 8.57 malam di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi Johor pada 11 Jun lalu.

Bagaimanapun, pada 18 Jun, kapal itu berjaya dikesan di perairan Kemboja dan namanya sudah ditukar kepada Kim Harmon oleh perompak.

Semua 22 anak kapal MT Orkim Harmony dibebaskan pada kira-kira jam 2.30 pagi 19 Jun lalu, dan kapal itu tiba di Pelabuhan Kuantan, Pahang keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 9:43 AM