LAPAN warga Indonesia disyaki lanun yang merampas kapal tangki MT Orkim Harmony ditemui di Pulau Tho Chu, Vietnam. Gambar dimuat naik di laman Twitter Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. FOTO Bernama
LAPAN warga Indonesia disyaki lanun yang merampas kapal tangki MT Orkim Harmony ditemui di Pulau Tho Chu, Vietnam. Gambar dimuat naik di laman Twitter Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. FOTO Bernama

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih menunggu keputusan pihak Vietnam untuk mengekstradisi kelapan-lapan suspek kapal tangki MT Orkim Harmomy ke Malaysia, kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

Katanya, beliau bersama lima pegawai kanan APMM berada di Hanoi pada minggu lalu bagi menguruskan keperluan berhubung ekstradisi kelapan-lapan suspek yang kini ditahan pihak Vietnam pada 19 Jun.

"Selain itu, semua cap jari dan DNA kelapan-lapan suspek telah diambil. Kita juga menganalisis data komunikasi daripada telefon bimbit dan telefon satelit dimiliki mereka.

"Kita masih menunggu jawapan dari pihak Vietnam. Saya yakin tiada masalah untuk membawa mereka (suspek) balik," katanya ketika dihubungi.

Ahmad Puzi berkata, pegawai-pegawai kanan itu akan kembali ke Hanoi selepas Hari Raya bagi meneruskan usaha mengektradisi kelapan-kelapan suspek agar mereka menghadapi pendakwaan di Malaysia.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilapor hilang pada pukul 8.57 malam pada 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka menuju Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Lapan suspek kemudiannya ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam pada 19 Jun. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 4:43 PM