NAMA kapal MT Orkim Harmony  ditukar menjadi Kim Harmon tiba di Pelabuhan Kuantan, Sabtu lalu. FOTO ihsan APMM
NAMA kapal MT Orkim Harmony ditukar menjadi Kim Harmon tiba di Pelabuhan Kuantan, Sabtu lalu. FOTO ihsan APMM
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Lima lagi suspek diburu berkaitan kes rompakan kapal tangki Orkim Harmony, berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh setakat ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, kejadian pada 11 Jun lalu membabitkan 13 suspek.

Katanya, lima suspek itu beredar bersama bot tunda yang digunakan untuk merapat kapal itu manakala lapan suspek yang sudah ditahan menaiki kapal berkenaan.

Menurutnya, lima suspek terbabit masih bebas dan dipercayai melarikan diri ke Batam.

"Pihak Western Fleet Quick Response(WFQR) memaklumkan mereka menemui bot tunda di Batam dua hari lalu dipercayai digunakan untuk merompak kapal Orkim Harmony," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, APMM memulakan proses ekstradisi untuk membawa semua lapan suspek yang terbabit dalam kes rompakan kapal Orkim Harmony.

Katanya, proses berkenaan akan memakan masa dan tertakluk dengan kerjasama pihak berkuasa Vietnam.

MT Orkim Harmony membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dan 22 anak kapal terputus hubungan di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor 11 Jun lalu.

Kapal itu dikesan dirampas dan ditukar nama asalnya 'Orkim Harmony' kepada 'Kim Harmon' pada 18 Jun dan kesemua 22 anak kapal dibebaskan, Jumaat lalu sebelum kapal itu tiba di Pelabuhan Kuantan, Sabtu lalu.

Berita berkaitan:

> Tak pernah nyata isu orang dalam: http://hmtro.com/1LeFkwu

> Rasional PASKAL tak bertindak: http://hmtro.com/1LeFjsm

> Siasat data pelayaran: http://hmtro.com/1LeFlAo

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 3:40 PM