FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


Senai: Lapan suspek warga Indonesia yang disyaki merompak kapal tangki MT Orkim Harmony tiba di Malaysia, awal pagi ini.

Mereka melakukan perbuatan itu dekat Pulau Aur, berhampiran Mersing, pada 11 Jun 2015.

Semua warga Indonesia itu tiba di Senai Business Aviation Terminal, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), 6.14 pagi ini.

Lapan suspek yang berusia antara 21 hingga 63 tahun itu dibawa ke Malaysia selepas diekstradisi dari Vietnam untuk menghadapi pertuduhan di negara ini.

Mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi untuk didakwa. Mereka dijangka didakwa kira-kira 10 pagi.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar, berkata pihaknya bersama lapan suspek itu berlepas dari Lapangan Terbang Hanoi, Vietnam pada 1.30 pagi.

Pada 11 Jun lalu, kapal tangki MT Orkim Harmony hilang bersama 22 kru di 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Kapal itu membawa 6,000 tan metrik muatan petrol RON95 dan dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.

Selain 16 kru warga tempatan, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar berada dalam kapal tangki berkenaan.

MT Orkim Harmony kemudiannya dikesan di kedudukan 80 batu nautika barat Vietnam, pada 5.15 petang, 18 Jun 2015.

Lapan suspek itu dikesan ketika mereka mendarat di Pulau Tho Chu, Vietnam, kira-kira 8 malam, pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 9:34 AM