Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang berbincang dengan pihak berkuasa Vietnam untuk membawa pulang lapan suspek perompak kapal tangki MT Orkim Harmony.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, semua suspek ditahan selepas menceroboh perairan Vietnam dengan menaiki bot penyelamat (lifeboat) berwarna kuning dan kini suspek dalam tahanan pihak berkuasa Kepulauan Tho Chu.

"Kami sedang mendapatkan kerjasama Vietnam menerusi pejabat Peguam Negara dan Kedutaan Luar Negeri bagi membawa semua suspek ke Malaysia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 6 (3)(c) Akta 633 Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia,"katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Ahmad Puzi berkata, siasatan menyeluruh memberi tumpuan kepada kejadian penculikan dan cubaan merompak MT Orkim Harmony; kejadian perompak melepaskan diri dari pengawasan pihak berkuasa dan sindiket rompakan yang merangkumi latar belakang suspek, dalang dan identiti pembeli minyak.

Selain itu, beliau berkata, kapal MT Orkim Harmony bersama 21 anak kapalnya dijangka tiba jam 2 pagi esok di Pelabuhan Kuantan, manakala tukang masak warga Indonesia Mavit Matin kini sedang dirawat di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Katanya, rakaman percakapan semua anak kapal akan dibuat mengikut kesesuaian serta mengikut keutamaan, dan APMM mempunyai masa 30 hari untuk berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 4:29 PM