PEMAIN skuad negara, Muhammad Ariffi (kanan) menggelecek dua pemain Kanada.
PEMAIN skuad negara, Muhammad Ariffi (kanan) menggelecek dua pemain Kanada.

Gwangju, Korea Selatan: Penyerang A Thamil Arasu mengakui kekalahan kepada Kanada pada Sukan Universiti Dunia semalam adalah sesuatu yang memalukan skuad negara.

Kekalahan di Stadium Awam Gochang itu menyebabkan anak buah Datuk Ong Kim Swee akan beraksi pada perlawanan klasifikasi menentukan dua kedudukan tercorot membabitkan 16 pasukan.

“Kekalahan ini memalukan. Kami bermain dengan baik namun melakukan kesilapan sendiri, salah kami.

“Kami perlu mendapatkan kedudukan ke-15. Tidak mahu kedudukan terakhir,” kata penyerang Selangor itu.

Malaysia bermula dengan baik apabila berjaya melancarkan beberapa serangan dan akhirnya membuka jaringan pada minit ke-37.

Bola percubaan pemain negara Mohamed Ariff Muhamad Anwar ditampan ke dalam gol oleh pertahanan lawan Alex Haddad sebelum Kanada menyamakan kedudukan pada minit ke-59 untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1.

Kanada akhirnya menang 4-2 apabila sepakan penalti Mohammad Nursalam Zainal Abidin dan Nazirul Naim Che Hashim masing-masing diselamatkan penjaga gol lawan dan melepasi palang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:05 AM